MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor hari ini mendesak Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak mempolitikkan kes Covid-19 yang semakin meningkat dengan menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama Pegerusi Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,Tan Sri Nor Omar mahu kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani pandemik tersebut.

Pada masa sama, mereka juga mengutuk keganasan rejim Israel ke atas rakyat dan menegaskan segala bentuk bantaun perlu disalurkan segera ke bumi Palestin.

Berikut kenyataan penuh mereka;

Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim haram Israel ke atas rakyat Palestin sehingga mengakibatkan kemusnahan hartabenda dan kehilangan nyawa bermula dari penghujung Ramadan lalu sehinggalah ke hari ini cukup dikesali.

MN Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar bertindak lebih agresif terhadap regim berkenaan bersama negara-negera Islam yang lain.

Segala bentuk bantuan dan pertolongan perlulah disalurkan segera ke bumi Palestin untuk meringankan kesengsaraan rakyatnya selain membantu membangunkan semula tanahair mereka yang hampir musnah dikerjakan oleh regim haram itu.

Semua pihak sepatutnya mengenepikan perbezaan dalam membela kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin ini sama ada di Tebing Barat mahupun di Gaza dengan bersatu berdiri sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bermaruah.

Tindakan salah seorang pemimpin PH Selangor dari DAP yang menganggap keprihatinan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin sebagai tindakan yang “bodoh” sangat dikesali dan sesungguhnya mencerminkan kepada rakyat betapa tiada akhlak dan sikap biadab ini sewajarnya ditolak rakyat di masa depan.

*Covid-19: Bekerjasama bukan menuding jari

Dalam pada itu MN Selangor turut merakamkan kebimbangan terhadap meningkatnya kes jangkitan Covid 19 dalam negara khasnya di Selangor. Angka 2,251 kes baru di negeri Selangor sahaja pada 19 Mei 2021, iaitu rekod tertinggi dalam negara membuktikan betapa lemahnya pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah PH.

Walaupun Selangor merupakan salah sebuah negeri termaju di Malaysia dengan memilik kemudahan asas yang terbaik dan PBT yang serba lengkap dan mewah namun gagal dalam mengawal pandemik ini sehingga mengancam keselamatan rakyatnya.

Kerajaan Negeri PH Selangor dilihat lebih cenderung berpolitik dengan menuding jari dan menyalahkan kerajaan Persekutuan sedangkan mereka sepatunya berkerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan menggerakkan semua kemudahan serta sumber negeri yang ada demi menghadapi pandemik ini.

Malah antara Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dan Menteri Besar Selangor sendiri pun kelihatan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama sendiri.

MN Selangor menyeru kerajaan negeri agar lebih fokus dan bertanggungjawab selain berkerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan agar penularan wabak ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan rakyat negeri Selangor dapat keluar dari kepompong kebimbangan ini.

MN Selangor juga merayu agar rakyat negeri ini mematuhi dan mengamalkan sepenuhnya SOP yang diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM dan sentiasa mengamalkan norma baru dengan harapan Allah SWT membantu kita keluar dari krisis yang cukup membimbangkan ini.