PELAKON Noorkhiriah berdepan detik cemas apabila anak sulungnya, Muhammad Hudhaifah Azfaizul,12 dilaporkan hilang dari rumah sekitar pukul 6 pagi tadi.

Walau bagaimanapun, aktres berusia 45 tahun itu bersyukur anaknya itu ditemui orang ramai di sekitar kawasan kediaman mereka di Kota Damansara selepas dua jam tiada di rumah.

“Saya sedar dia hilang daripada pandangan mata sekitar waktu Subuh.

“Jujur saya menggigil ketakutan fikir yang bukan-bukan. Apa terjadi kepadanya…macam-macam berlegar dalam kepala saya waktu itu.

“Tapi syukur, kawan suami saya menemuinya di sebuah kawasan parkir kereta,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, pelakon drama Nur itu telah berkongsi berita kehilangan anaknya yang kali terakhir dilihat menunggang basikal merah dengan memakai ‘sweater’ tertera tulisan negara Australia.

Malah, rakan artis seperti Azza Elite, Iesya Toh dan pengarah Shahrulezad Mohameddin turut menghebahkan berita tersebut menerusi media sosial masing-masing.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan sejak 15 tahun.

Selain Hudhaifah, Noorkhiriah dia juga memiliki seorang anak lelaki bernama Muhammad Yusoff,10 dan anak perempuan, Nur yang berusia 2 tahun.