KOTA Setar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.

Berikutan itu, banyaklah sektor ekenomi kini berada dalam senarai aktiviti dilarang di bawah PKPD.

Ini termasuklah sektor perhotelan yang tidak boleh menerima tetamu secara umumnya.

Perit memang perit tetapi itulah PKPD yang tujuannya mengekang penularan COVID-19.

Ingkar juga, kompaun RM10,000 menanti dan ini dialami seorang pemilik hotel bajet dekat Tandop, Alor Setar semalam.

Pemilik hotel berusia 60-an itu dikompaun ingkar melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD Kota Setar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPD dari Ibu Pejabat Polis (IPD) melakukan pemeriksaan di premis itu pada jam 10.30 malam.

“Pemeriksaan di hotel itu juga mendapati terdapat seorang wanita warga Thailand umur 30-an yang didaftarkan sebagai pelanggan menginap di sebuah bilik hotel berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen perjalanan wanita Thailand itu didapati tamat tempoh dan dia ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Usah pelik kes naik – judi, tak pakai pelitup muka, hiburan segala jenis ingkar SOP direkod semalam!

28 lagi mukim di Kedah, dua lokaliti di Kelantan kena PKPD

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, pihaknya turut mengesan seorang lelaki dan wanita berusia 30-an yang berada dalam sebuah kenderaan di hadapan hotel tersebut.

“Mereka masing-masing dikompaun RM2,000 kerana tidak mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan,” katanya.

Ujar beliau, pada hari pertama PKPD dilaksanakan di Kota Setar, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai ketidakpatuhan SOP PKPD.

“Kebanyakannya adalah atas kesalahan berkumpul di kediaman,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram