PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai mulai esok disifatkan langkah terbaik mengekang penularan wabak daripada terus merebak.

Sehubungan itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, proses kawalan di universiti berkenaan akan diambil alih sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segala keperluan asas dan kebajikan warga kampus diuruskan MKN.

Walaupun begitu, kata Ahmad Fauzi, pengurusan universiti sebagai pemegang amanah utama akan terus memastikan segala keperluan dan kebajikan sentiasa terjaga serta terjamin.

Menurut beliau, pihak universiti akan menggerakkan usaha bantuan secara berterusan kepada warga kampus yang terkesan.

“Agihan makanan dan keperluan kepada warga kampus termasuk pelajar-pelajar di kolej juga akan diuruskan oleh pihak MKN.

“Di sini juga saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada pelajar, kakitangan dan petugas barisan hadapan universiti yang telah bertungkus-lumus bertugas sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Pengorbanan, kesungguhan dan kesabaran petugas ini sememangnya tidak terbalas. Semoga balasan sebaiknya diterima daripada Yang Maha Esa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 49 daripada 346 diuji positif, satu UTM Skudai kena PKPD

Pada masa sama, Ahmad Fauzi turut menyeru seluruh warga kampus berkenaan untuk kekal tenang dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sukacita diingatkan juga untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak ini. Marilah kita bersama-sama berdoa agar segala urusan kita semua dipermudahkan.

“Mudah-mudahan dengan berkat doa semua, kita akan berjaya mengharungi situasi ini dengan penuh ketabahan dan semoga keadaan akan terus terkawal,” kata beliau lagi.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengumumkan pelaksanaan PKPD di UTM Skudai, Johor berkuat kuasa 21 Mei sehingga 3 Jun 2021.

Menurut Ismail Sabri, keputusan itu dibuat selepas sebanyak 49 kes positif COVID-19 telah direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia melibatkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr. Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.

“KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tingi iaitu 14.2 peratus serta taburan kes positif serta kontak rapat telah menular di beberapa kolej lain,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram