PARIS Saint Germain (PSG) menjulang Piala Perancis untuk kali keenam dalam tujuh tahun selepas menewaskan Monaco 2-0 di stadium Stade de France pada awal pagi tadi.

Ia juga merupakan piala kedua untuk PSG di bawah kendalian Mauricio Pochettino selepas menjulang Throphee des Champions pada Januari lalu.

Jaringan Mauro Icardi dan Kylian Mbappe memastikan kejuaraan buat PSG yang akan mengharungi aksi terakhir Ligue 1 musim ini dengan 

peluang untuk memenangi gelaran liga ke-10 mereka.

Menurut penyerang PSG, Kylian Mbappe, kejayaan merangkul Piala Perancis merupakan satu perkara yang sangat membanggakan kerana usaha keras para pemain dan barisan jurulatih.

“Kami berusaha keras setiap hari untuk mencapai kejayaan, ganjaran dan pengiktirafan seperti ini.

“Ia adalah hasil kerja berpasukan, semua yang terlibat dengan kelab ini, serta penyokong-penyokong yang tidak dapat bersama kami.

“Kami sentiasa memikirkan tentang peminat dan kejuaraan ini adalah untuk mereka juga,” kata Mbappe.

Selaku juara bertahan, PSG ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Ligue 1 Perancis iaitu Lille.

Kedua-dua pasukan mempunyai misi merebut gelaran Ligue 1 dan aksi terakhir penutup kempen kali ini akan menentukan juara Ligue 1.

PSG akan bertemu pasukan Brest yang menduduki tangga ke-16 dalam carta liga manakala Lille akan berjumpa Angers.

Sekiranya kedua-dua pasukan berjaya mencatat kemenangan di perlawanan akhir liga nanti, Lille akan dinobat selaku juara Ligue 1 buat kali ke 23.

Kali terakhir ‘Les Dogues’ merangkul juara liga adalah pada musim 2010 /2011 dimana PSG menamatkan di kedudukan keempat.