Sememangnya ramai di kalangan masyarakat kita percaya dengan berperang menegakkan kalimah Allah sahaja, boleh mendapat ganjaran mati syahid sebagaimana di Palestin ketika ini.

Hakikatnya, syahid bukan hanya mati ketika berperang sahaja, tetapi dalam konteks syahid, Baginda s.a.w. menyatakan, ada banyak lagi kategori mati yang mendapat ganjaran syahid. Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Mati kerana penyakit taun merupakan syahid bagi setiap orang Muslim.” – HR Muslim

Dalam hadis tersebut, Baginda jelas mengatakan, mereka yang mati kerana penyakit taun, maka matinya dianggap sebagai syahid.

Persoalan di sini, mengapa Baginda s.a.w. secara jelas menjuruskan penyakit taun, sebagai salah satu dari kategori syahid, sedangkan terdapat banyak lagi penyakit lain yang boleh dikhususkan.

Bagaimana jika dikiaskan hadis ini dengan wabak penyakit lain seperti covid 19, selsema burung, denggi, H1N1, Aids dan lain-lain. Maka adakah sama hukumnya dengan mati syahid sebagaimana hadis tentang taun?

Kematian akibat COVID-19 semakin tinggi.

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu kita lihat apa yang dikatakan mati syahid. Dari segi bahasanya, syahid bermaksud penyaksian.

Manakala dari segi perbahasannya, syahid dirujuk sebagai seseorang yang mati terbunuh di medan perang, kerana menegakkan kalimah Allah.

Berdasarkan hadis Baginda s.a.w.,  Dari Abu Musa al-Asyari menyatakan,

“Telah datang dua orang lelaki menemui Baginda s.a.w. lantas bertanya untuk memahami sesuatu, “Seorang perajurit berperang kerana harta, seorang lagi kerana Allah, dan seorang lagi berperang kerana ingin dilihat kedudukannya. Maka yang mana satukah berperang di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. pun menjawab, “Orang yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah itu tinggi, itu adalah berperang pada jalan Allah.” – HR Bukhari

Walaupun terdapat hadis yang menunjukkan, mati berperang menegakkan kalimah Allah sebagai mati syahid, namun begitu terdapat juga hadis lain, yang menjelaskan tentang kematian syahid, juga boleh berlaku kepada mereka yang tidak berjuang, menegakkan kalimah Allah.

Hadis dari Abu Hurairah r.a menyebutkan, bersabda Baginda s.a.w.

“Syuhada  itu ada lima, mati kerana taun, penyakit dalam perut, lemas, dihempap runtuhan dan fi sabilillah (di jalan Allah).” – HR Bukhari & Muslim

Manakala dalam hadis yang lain pula Jabir bin A’tik meriwayatkan dari Baginda s.a.w.

“Syahid itu ada tujuh, selain dari peperangan di jalan Allah iaitu, mati kerana taun, mati kerana lemas, penyakit bengkak di sebelah badan, penyakit dalam perut, mati kerana terbakar, mati kerana tertimbus runtuhan, dan wanita yang mati dengan kandungannya.” – HR Abu Daud 

Syahid bukan hanya mati berperang

Berdasarkan hadis di atas, boleh kita simpulkan, syahid itu bukan hanya tertakluk kepada mati berperang menegakkan kalimah Allah sahaja, tetapi syahid itu juga boleh diperoleh sekiranya seseorang mati disebabkan oleh perkara yang disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah dan Jabir bin A’tik.

Justeru, dalam merungkaikan permasalahan ini, ulama meletakkan syahid itu dalam dua bahagian, kategori pertama syahid dunia dan akhirat dan kategori kedua syahid akhirat bukan dunia.

Contoh kategori pertama, seperti mati kerana berperang menegakkan kalimah Allah. Manakala kategori kedua, adalah di kalangan mereka yang disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a. di atas, termasuklah penyakit taun.

Sama seperti Jihad

Hakikatnya tiada nas yang sahih menjelaskan tentang, mengapa Allah S.W.T. turut memberikan ganjaran syahid kepada mereka yang mati kerana taun, lemas, runtuhan dan lain-lain.

Namun dari sudut pengamatan para ulama, antara sebab mengapa kematian tersebut dihukumkan syahid oleh Baginda s.a.w. ialah, kesemua kematian ini mempunyai persamaan dengan syahid, berperang menegakkan kalimah Allah.

Persamaan yang disepakati oleh kalangan ulama muktabar adalah, ketika berlakunya situasi, keadaan kematian mereka yang sama seperti seorang berjihad di medan perang. Mereka dapat membayangkan dan mengalami penderitaan, sebelum kematian itu datang menjemput, berbeza dengan orang biasa kerana, mereka tidak tahu bila kematian itu datang.

Pesakit COVID-19 bertarung nyawa sepertimana berperang di jalan Allah maka syahidlah ganjaran mereka. Kredit gambar: SMCV

Bahkan antara golongan yang disebutkan oleh Baginda ini juga, dapat merasakan saat-saat kematian semakin hampir kepada mereka, sepertimana seorang perajurit perang yang melihat kilauan mata pedang, berterbangan mencari sasaran.

Pada mereka, ini merupakan ujian yang sangat berat. Hanya hati yang teguh dan keimanan yang kukuh, mampu menempuh cabaran dan dugaan tersebut.

Oleh itu layak bagi mereka diiktiraf dan diberikan ganjaran sebesar orang berjihad fi sabilillah, kerana mengenangkan ujian yang ditempuhi seakan sama.

Mengapa Taun bukan 3 serangkai?

Mengapa Baginda s.a.w. menjuruskan penyakit taun, sebagai salah satu kematian yang memperoleh ganjaran syahid. Sedangkan jika kita lihat sekarang ini, ada banyak lagi penyakit lain yang lebih berbahaya, dan menjadi ancaman utama penduduk dunia, seperti kanser, serangan jantung, buah pinggang, aids dan lain-lain.

Jika melihat kepada penyakit taun, ia merupakan wabak yang mudah merebak dengan cepat dan menyerang manusia. Penularan wabak ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kematian yang banyak.

Oleh itu, tidak mustahil mengapa Baginda s.a.w. menjuruskan dalam hadisnya, penyakit taun sebagai penyakit yang memperoleh ganjaran syahid, berbanding penyakit-penyakit tiga serangkai yang disebutkan.

Ini mungkin juga disebabkan impak dari penyakit tersebut, yang mampu memusnahkan sesebuah komuniti masyarakat dengan cepat. Apatah lagi, apabila melihat penderitaan yang dialami oleh para pesakit.

Justeru itu, muncul pula pertanyaan, bolehkah penyakit taun ini dikiaskan dengan penyakit yang lain, seperti wabak covid 19, H1N1, malaria dan lain-lain.

Menjawab permasalahan ini, kita lihat beberapa definisi taun oleh para ulama bahasa antaranya al-Jauhari mengatakan taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.

Syeikh Ibrahim al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis menyebutkan, wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum. Manakala Ibnu al-Arabi dalam syarah al-Tirmizi,

Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun).”

 Seperti yang diketahui umum, covid 19 adalah virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru dalam situasi ini ia boleh dianggap sebagai taun seperti yang disebut dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Apalagi jika di Malaysia ketika ini, setiap hari ada sahaja kematian melibatkan covid 19 yang mana setakat ini 47 kematian direkodkan paling tinggi dalam sehari. Ini menunjukkan covid 19 adalah wabak yang boleh disandarkan seperti taun.

Oleh itu sesiapa yang meninggal dunia kerana covid 19 dianggap sebagai syahid sebagaimana yang difahami daripada hadis-hadis yang sahih. Namun ganjaran syahid hanyalah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak.

Tanamkan cita-cita untuk syahid tak kiralah syahid dunia atau akhirat.

Sebagai umat Muhammad s.a.w. kita perlu menanamkan cita-cita dan azam, untuk memperoleh syahid tanpa mengira syahid dunia akhirat ataupun akhirat sahaja.

Jangan pula kerana inginkan syahid maka kita minta pada Allah untuk mendapat penyakit taun, mati lemas, sakit dalam perut dan sebagainya. Cukup hanya kita berazam untuk mengejar syahid sahaja sebagaimana hadis Baginda s.a.w. berbunyi

Barangsiapa yang mengharapkan mati syahid dengan ikhlas, dia akan mendapat kedudukan itu sekalipun mati di atas katilnya.” – (HR Muslim)

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram