BALING mercun bola ke arah polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR).

Motif kejadian? Tiada niat atau mudahnya ‘saja-saja’.

Ujian dadah suspek pula negatif dan tiada juga rekod jenayah lampau.

Apa pun dua lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun itu masuk lokap dulu selepas direman tiga hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian 10.30 malam kelmarin, dua lelaki menaiki Yamaha LC135 dilihat dalam keadaan mencurigakan berhampiran SJR sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.

ARIFAI TARAWE

“Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak membakar serta membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR dan terus melarikan diri.

“Polis kemudian mengejar dan menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari sekatan jalan raya.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu paket plastik lut sinar yang mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hasil siasatan katanya, salah seorang suspek itu membakar dan membaling mercun bola ke arah polis yang sedang bertugas itu tanpa niat dan bersahaja.

Baca artikel berkaitan: Diarah berhenti main, polis pula dilontar mercun

Menurut beliau, selain 14 biji mercun bola dan pemetik api, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan dua topi keledar.

Kedua-dua suspek, lelaki berusia 20 dan 16 tahun itu didapati negatif ujian saringan air kencing dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Arifai berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan tahan reman tiga hari hari mulai Rabu hingga 21 Mei (Jumaat) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram