bauaya
AKSI seorang penduduk Australia menunggang buaya seperti menaiki papan luncur menerima kecaman dari seluruh dunia. - Gambar Internet

AUSTRALIA sentiasa menjadi perhatian dunia dengan kepelbagaian hidupan liar yang terdapat di negara tersebut. Malah masyarakat dunia juga sudah tidak terkejut sekiranya terdapat video atau gambar penduduk dari negara tersebut tiada sedikit pun perasaan gerun terhadap binatang-binatang buas.

Secara umumnya, manusia akan sedaya upaya menjauhkan diri mereka daripada haiwan buas, namun terdapat juga sesetengah orang ‘gila’ yang sanggup melakukan aksi yang menggerunkan bersama haiwan-haiwan tersebut seperti yang sentiasa dilakukan oleh sesetengah penduduk Australia yang terkenal dengan sifat berani mati itu.

Semalam, gambar seorang lelaki yang menunggang seekor buaya seolah-seolah seperti papan luncur di sebatang sungai di Australia tular di media sosial telah mencetuskan kemarahan warga maya seluruh dunia.

Foto tersebut memaparkan seorang lelaki yang berkaki ayam, berjaya mengikat mulut haiwan reptilia tersebut sebelum meluncur di atas badan buaya itu di permukaan sungai.

Lelaki yang diperhatikan oleh rakan-rakannya dari bot berdekatan, kelihatan sukar untuk mengimbangi badannya ketika meluncur di atas buaya tersebut.

BERITA BERKAITAN Gadis berhijab tunjuk ‘skill’ tunggang kuda liar, ramai puji hebat

Gambar tersebut pada mulanya tular di laman sosial Reddit dengan kapsyen “Gambar ‘paling Australia’ yang pernah saya ada,” sebelum ianya dipadam dalam masa 24 jam setelah mencetuskan kemarahan pengguna lain lebih-lebih lagi daripada aktivis haiwan.

Gambar ini dikritik berat oleh pertubuhan hak asasi haiwan terkenal, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA).

“Haiwan bukanlah papan luncur, kita tidak sepatutnya menepuk tangan dan menuji tindakan orang ‘meluncur’ di atas belakang buaya. Tindakan ini sama seperti kita menyokong joki kuda yang membedal kuda mereka atau jurulatih haiwan di taman tema marin yang menunggang ikan lumba-lumba,” ujar jurucakap PETA, Emily Rice.

“Binatang reptilia sperti buaya di Australia sememangnya telah dieksplotasi untuk menjadi tarikan pengunjung, sarang mereka diceroboh dan anak-anak buaya diambil untuk dibesarkan di kilang ladang yang kotor. Malah haiwan ini juga dibunuh tanpa belas kasihan untuk mendapatkan kulitnya sebelum dijadikan beg tangan berjenama.

“Hidupan liar kini semakin terancam, terima kasih kepada nafsu serakah manusia,” tambahnya.