ABANG Paul Pogba, Mathias menggesa adiknya itu meninggalkan Manchester United dan menyertai revolusi Joan Laporta di Barcelona.

Pemain kebangsaan Perancis itu mempamerkan prestasi memberangsangkan di United musim ini dan tampak lebih baik berbanding sebelumnya sejak kembali menyarung jersi ‘The Red Devils’ pada 2016.

Namun abangnya kembali mencetus spekulasi perpindahan dan berharap bintang United itu akan menyertai Barcelona pada jendela perpindahan akan datang ini.

Kontrak Pogba akan berakhir tahun depan dan dia dilaporkan menuntut gaji 400,000 pound (RM2.35 juta) seminggu untuk terus kekal bersama United.

Pihak United enggan memenuhi permintaannya itu sehingga mencetus spekulasi perpindahan Pogba.

Tindakan itu sekaligus membuka mata gergasi besar eropah seperti Juventus, Real Madrid dan Barca yang dikaitkan dengan perpindahan Pogba tetapi masalah kewangan memaksa mereka mencari alternatif lebih menguntungkan.

Bagaimanapun presiden baharu Barca, Laporta bertekad mencetus pembaharuan dengan membawa masuk pemain-pemain berkualiti sebaik musim ini berakhir.

Mathias menggesa adiknya mengambil kesempatan untuk menjadi bintang bersama gergasi Catalan itu.

Mathias, yang juga pemain NK Tabor Sezana, berkata, dia mahu adiknya tumpu kepada perlawanan akhir Liga Europa menentang kelab dari Sepanyol, Villarreal terlebih dahulu.

“Sebaik dia memenangi Liga Europa, kita akan bercakap mengenainya.

“Saya tidak tahu apa-apa, tetapi jika saya berada di tempatnya, saya akan menyertai Barca.”

Hanya sembilan pemain termasuk Marc-Andre Ter Stegen, Lionel Messi, Ansu Fati dan Frenkie De Jong dikatakan kekal dalam perancangan Laporta.

Pemain berusia 28 tahun itu telah membuat 205 penampilan bersama United dan menjaringkan sebanyak 38 gol sejak 2016.

Kehilangan Pogba jelas sekali akan memberi kesan terhadap jentera tengah United yang kini dibarisi oleh Bruno Fernandes, Donny Van De Beek, Scott McTominay, Nemanja Matic dan Fred.