Chelsea dan Leicester City berdepan dakwaan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) berikutan pergaduhan di antara kedua-dua pemain pasukan itu ketika menuju wisel penamat dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris semalam.

Situasi tegang tercetus di Stamford Bridge selepas Ricardo Pereira mengasari bekas rakan sepasukannya, Ben Chilwell, di tepi bangku simpanan lalu mencetuskan kekecohan yang turut melibatkan beberapa anggota kakitangan pelatih.

Situasi bertambah panas susulan tindakan Daniel Amartey menghina panji Chelsea selepas perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.

Pemain tengah itu merakamkan tindakannya mencampakkan panji Chelsea sekaligus mencetus kontroversi dan menghangatkan lagi situasi di antara Chelsea dan Leiceter City.

Insiden terbaru itu mengundang perhatian FA yang mengesahkan kedua-dua kelab berkenaan berdepan tindakan berhubung kegagalan mengawal pemain masing-masing.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FA malam tadi, kedua-dua kelab didakwa gagal mengawal pemain dan pegawai masing-masing dan diberikan tempoh sehingga Selasa ini untuk memberi jawapan.

“Chelsea FC dan Leicester City FC masing-masing dituduh melanggar Peraturan E20.1 FA berikutan perlawanan EPL di antara mereka pada Selasa, 18 Mei 2021.

“Kedua-dua kelab gagal memastikan pemain dan pegawai kelab mereka berkelakuan baik atau menahan diri daripada melakukan tingkah laku provokatif pada minit ke-93.

“Chelsea FC dan Leicester City FC kedua-duanya diberi tempoh hingga Selasa, 25 Mei 2021, untuk mengemukakan penjelasan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mengakui ia bukan satu perkara yang mudah apabila tewas dalam perlawanan yang sukar.

“Kami terpaksa menerimanya. Kami menghormati final Piala FA tetapi ia menjadi semakin panas. Sukar apabila tewas dalam perlawanan penting.

“Saya sedar ada insiden, saya tidak bercakap tentangnya sebelum perlawanan. Pemain-pemain juga menyedarinya.”

Chelsea kini menguasai tangga ketiga EPL dengan baki lagi satu perlawanan menentang Aston Villa, Sabtu ini, satu mata mengatasi Liverpool di tempat terakhir kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).

Manakala Leicester memerlukan sekurang-kurangnya lima gol pada hari terakhir musim ini sekiranya berhasrat memintas The Reds.