SUPAYA tidak melaksanakan pemeriksaan kapal, rasuah dihulur RM2,000 hingga RM4,000 setiap kali transaksi kepada seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Caranya dengan pemindahan wang secara dalam talian di sebuah bank di Bukit Ubi, Kuantan antara 19 April 2019 hingga 27 November 2020.

Namun hari ini, Mohamad Sulhan Zainon, 51, yang merupakan Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedeli APMM Johor didakwa atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM28,000.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dan minta dibicarakan.

Mohamad Sulhan didakwa telah diberikan suapan sebanyak RM2,000 hingga RM4,000 daripada seorang pengarah syarikat agar tidak melaksanakan pemeriksaan ke atas kapal antara 19 April 2019 hingga 27 November 2020.

Tertuduh yang beralamat di Skudai, Johor itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Bernama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.

Di mahkamah sama, Bintara Kanan Maritim di Zon Maritim Tanjung Sedeli APMM Johor, Mohd Rusdi Mohd Joha, 47, didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 pada tahun lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rusdi didakwa telah diberikan suapan masing-masing bernilai RM1,000 kerana melepaskan kapal milik syarikat seorang individu daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan penguatkuasaan, melalui pindahan wang secara dalam talian di sebuah bank di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang antara 2 April 2020 dan 10 Jun 2020.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dikenakan denda kurang RM1,000 dan diketepikan hukuman penjara kerana menanggung isteri yang tidak bekerja dan empat anaknya masih bersekolah.

Wan Shaharuddin dalam hujahannya menyokong agar tertuduh diketepikan hukuman penjara kerana ini merupakan kesalahan pertamanya selain dia telah menyesali perbuatan tersebut dan wajar diberikan peluang.

“Saya cadangkan tidak perlu hukuman penjara untuk tertuduh seperti ini, kita simpan penjara itu untuk penjenayah kleptokrasi di Malaysia.

“Bagaimanapun, saya mencadangkan tertuduh dikenakan denda RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap pertuduhan sebagai pengajaran,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram