PADA HARI INI dalam tahun 1958, telah berlangsung rundingan awal mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri Jepun di Tokyo, Jepun. Pesekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj sementara Negeri Jepun diwakili oleh Perdana Menterinya, Nobusuke Kishi. Hadir sama dalam rundingan ini ialah Menteri Kewangan Tanah Melayu, Sir Henry Hau-Shik Lee, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Tan Siew Sin, Menteri Dalam Negeri dan Keadilan, Encik Sulaiman Dato’ Abdul Rahman dan Menteri Luar Jepun, Aiichiro Fuji-yama.
Tujuan rundingan tersebut adalah untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Jepun bagi mengembangkan perusahaan-perusahaan perintis di Tanah Melayu dan juga perusahaan-perusahaan yang lainnya. Kerjasama Kerajaan Jepun juga diperlukan dalam perusahaan perikanan. Sebagai insentif, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju untuk memberi pengecualian cukai selama lima tahun kepada perusahaan-perusahaan yang ditubuhkan melalui pelaburan asing.
Rundingan ini telah menghasilkan satu perjanjian perdagangan yang dipersetujui di antara kedua-dua buah negara ini setahun kemudiannya. Dengan adanya kerjasama Kerajaan Jepun ini perusahaan-perusahaan di Tanah Melayu telah berkembang lebih pesat lagi.

21 Mei 1912 : Perjanjian Brunei-Sarawak Mengenai Sungai dan Daerah Pandaruan
Sementara itu pada hari semalam dalam tahun 1912, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Negeri Brunei dan Negeri Sarawak untuk menjelaskan kedudukan sungai dan daerah Pandaruan yang dahulunya telah dipajakkan kepada Alfred Hart Everett oleh Pangiran Muda Damit Mohamed Tahudin – anakanda kepada Pangiran Muda Hashim – yang kemudian dipindah pajak kepada Sair Charles Brooke, Raja Sarawak, pada 25 Ogos 1885,
Perjanjian itu menjelaskan perkara-perkara berikut:
- Hak-hak kedaulatan Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan adalah diakui;
- Kesemua cukai eksport yang dikenakan dan dikutip oleh Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan akan dibahagi dua, satu bahagian akan dibayar kepada Residen Limbang empat kali setahun;
- Kesemua cukai import di Daerah Pandaruan akan dikutip oleh Kerajaan Brunei dan dimasukkan ke dalam hasil mahsul Kerajaan Brunei;
- Kerajaan Sarawak berhak mengutip cukai kepala (poll tax) iaitu cukai yang dikenakan ke atas setiap orang di Daerah Pandaruan;
- Kerajaan Sarawak boleh meletakkan seorang pekedai Cina di Daerah Pandaruan untuk mengutip bayaran dalam daerah ini, dan;
- Kerajaan Sarawak akan bertanggung jawab ke atas orang-orang Dayak yang tinggal di Daerah Pandaruan dalam masa setahun daripada tarikh (perjanjian ditandatangani) ini supaya perkara mengenai di mana mereka harus tinggal dapat dibincangkan.

Perjanjian ini dibuat di Labuan dan ditandatangani oleh Harvey Chevalliar, Residen British di Brunei bagi pihak Kerajaan Brunei, sementara R. S. Dougles, Pemangku Residen Bahagian Kelima Sarawak dan Haji Halil, Native Officer, Limbang, menandatangani bagi pihak Kerajaan Sarawak.
Bagaimanapun perjanjian ini telah dibatalkan lapan tahun kemudian. Satu perjanjian baharu telah dibuat pada 4 Februari 1920. Dalam perjanian itu kedua-dua pihak bersetuju bahawa:
- Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Barat (Limbang) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hak milik Kerajaan Sarawak;
- Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Timur (Temburong) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hak milik Kerajaan Brunei;
- Tidak ada satu apa pun dalam perjanjian ini yang akan mengakibatkan hak-hak yang telah diberikan kepada Sir Charles Brooke, G. C. M. G. untuk menjacari dan mendapatkan batu arang di Negeri Brunei;
- Prinsip umum yang termaktub dalam seksyen-seksyen 1 dan 2 di atas tidak boleh dibubah tanpa restu Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi bagi negeri-negeri Melayu dan Brunei di satu pihak dan Yang Maha Mulia Raja Sarawak di satu pihak yang lain.

23 Mei 1928 : Perang
Berlaku pertempuran di antara penentang-penentang Kerajaan British dengan pasukan kerajaan. Di mana dan berapa banyak nyawa terkorban? Maklumatnya akan kami siarkan pada hari esok.