zuki
Mohd Zuki Ali

OPERASI pejabat kerajaan seluruh negara akan dilaksanakan secara hibrid menerusi keberadaan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR).

Pelaksanaan operasi secara hibrid itu susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung sekatan lebih ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, operasi berkenaan akan menggunakan pendekatan kehadiran ke pejabat pada tahap 20 peratus manakala 80 peratus lagi secara BDR dengan penggiliran namun arahan itu tidak termasuk kakitangan barisan hadapan.

Jelas beliau, kehadiran ke pejabat pula hanya untuk proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan keberadaan di pejabat.

Menurut Mohd. Zuki, mesyuarat dan perbincangan juga perlu dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan.

“Perkhidmatan kaunter hanya dibuka kepada perkhidmatan yang tidak ditawarkan secara dalam talian dan melalui janji temu sahaja.

Baca artikel berkaitan: Hampir 7 juta akan bekerja dari rumah mulai Selasa ini

“Ketua jabatan hendaklah melaksanakan arahan ini dengan merancang kehadiran penjawat awam yang diperlukan di pejabat dan BDR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan sebanyak 80 peratus kakitangan awam diwajibkan untuk BDR mulai 25 Mei ini.

Kata Ismail Sabri, ia melibatkan seramai 750,000 kakitangan awam.

Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, pelaksanaan BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang memperincikan aspek-aspek perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Katanya, sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 – Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Mohd. Zuki memaklumkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan garis panduan yang lengkap dalam masa terdekat dengan perincian kepada perkara-perkara berkaitan.

“Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberi dengan cepat dan tepat.

“Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa perlu dipatuhi bagi memastikan keluk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram