TUN Dr.Mahathir Mohamad hari ini membidas tindakan seorang wanita yang mendakwa 40 orang jururawat telah meninggal dunia selepas menerima suntikan kedua vaksin.

Dalam video berdurasi 2 minit bekas Perdana Menteri yang sedih dengan perbuatan wanita bergelar ‘mak teh’ itu menyifatkan, dakwaan tersebut sebagai satu dakyah.

”Saya berasa amat sedih kerana ‘mak teh’ bercakap kononnya orang yang disuntik dengan vaksin ni 40 orang dah mati, kita tak boleh cakap macam tu, kita tentukan apa yang kita kata tu betul atau tidak, saya tak percaya dia betul..

”..Kerana saya pun telah disuntik, isteri sayapun dah disuntik, tak ada apa pun, kami lebih bertahan daripada dijangkiti dengan wabak ini,’’ katanya.

Justeru tegas Dr.Mahathir,  ia adalah satu dakyah yang tidak ada asas dan sebenarnya menghukum mati kepada orang yang tidak dapat vaksin.

”Jadi orang tak dapat vaksin mereka akan kena penyakit ini, dia mati..mak teh lah yang bertanggungjawab, kalau dosa, dosa mak teh la kerana orang ikut mak teh kononnya (minum) ayaq nyok (air kelapa)….ayaq nyok nak buat apa…bukan boleh buat apapun.

”Kalau tak percaya mak teh sendiri la pi minum ayaq nyok lepas tu pi cium orang yang sakit covid ni tengok dia boleh jadi apa..boleh ka ayaq nyok tu bertahan,’’ katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, apa yang diperkatakan oleh wanita tersebut adalah satu dakyah yang sepatutnya tidak boleh dibuat oleh seseorang dengan begitu lantang tanpa maklumat yang benar.

‘’..Yang kononnya orang sembunyi (kematian jururawat)…nak sembunyi macam mana kalau mak teh tau… macam mana mak teh boleh tau..,’’ katanya.

Dr.Mahathir berkata, beliau lihat ramai jururawat bekerja siang malam, mereka semua sudah disuntik vaksin dan masih bekerja.

‘’Ini satu perbuatan yang tak baik lah yang akan menyebabkan ramai orang lagi akan dapat sakit wabak ni dan akan mati. Bila mereka mati itu tanggungan mak teh lah, dosa ka ke tak dosa,’’ kata beliau.

Dalam rakaman audio yang tular, wanita itu mendakwa kesan daripada vaksin yang disuntik kepada rakyat, jururawat yang meninggal dunia sudah 30 orang hingga 40 orang tetapi ia tidak dilapor media.

Malah wanita itu juga mendakwa, bukan sahaja jururawat malah ramai kakitangan hospital yang meninggal dunia selepas disuntik dengan vaksin kali kedua.

Wanita itu turut mendakwa, seorang doktor memberitahu, vaksin tersebut mengandungi racun dan meminta sesiapa yang disuntik kali kedua untuk minum air kelapa untuk membuang kesan daripada suntikan tersebut.