Hari untuk diingati dan diraikan oleh semua alumni Universiti Malaya (UM): Pada hari ini dalam tahun 1959, sesi yang pertama pengajian di UM Bahagian Kuala Lumpur, dimulakan di bawah Perlembagaan UM yang baru berkuatkuasa pada hari penubuhannya, 15 Januari 1951.

Sebenarnya UM telah ditubuhkan di Singapura apabila Maktab Perubatan King Edward VII dan Maktab Raffles digabungkan dalam tahun 1949. Hasil daripada pindaan-pindaan ke atas Ordinan UM 1949, universiti ini telah dijadikan kepada dua bahagian: Satu bahagian di Singapura manakala satu lagi di Persekutuan Tanah Melayu.

Pada mulanya Suruhanjaya Carr-Saunders mencadangkan supaya UM Bahagian Persekutuan Tanah Melayu ditempatkan di Johor. Cadangan ini telah ditolak dan sebaliknya dipersetujui supaya ditempatkan di Kuala Lumpur.

Sebelum ini dalam tahun 1957, kursus pengajian bagi pelajar tahun pertama jurusan Sastera, telah dijalankan di bangunan sementara Kolej Teknik, Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam tahun ini juga Suruhanjaya Penyiasat telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh Sir Robert Atken, Naib Canselor Universiti Birmingham. Suruhanjaya tersebut ditugaskan untuk merancang kemajuan UM di Kuala Lumpur.

Hasilnya, pada November 1958, satu undang-undang telah diluluskan untuk meneruskan usaha ke arah perubahan UM di Kuala Lumpur sebagai sebuah institusi yang tersendiri dan mempunyai taraf yang setanding dengan yang di Singapura.

Maktab Raffles, Singapura, pada 1949, tempat bermulanya Universiti Malaya.

Dengan ini, UM di Kuala Lumpur dan UM di Singapura akan mempunyai Pengetua (Principal), Majlis Bahagian (Divisional Council) dan Senat Bahagian (Divisional Senate) masing-masing.  Pada tahun ini juga, Fakulti Kejuruteraan dipindahkan ke bangunan barunya di Lembah Pantai.

UM Kuala Lumpur dibina di kawasan bukit dan lembah seluas 450 ekar yang dikenali sebagai Lembah Pantai. Pada awal Mei 1959, bangunan Fakulti Sastera dan bangunan perpustakaan telah siap dibina. Dalam masa yang sama juga Kolej Pertama kediaman para pelajar telah dibuka.

Pada pembukaan sesi yang pertama pada hari ini dalam tahun 1959 ini, UM telah dapat mengadakan kurus-kursus Tahun Pertama Sastera, Tahun Pertama Sains dan semua tahun bagi Kursus Kejuruteraan serta Kursus Ijazah Kepujian dalam Pengajian Melayu dan India oleh kerana kedua-dua pengajian ini telah dipindahkan sepenuhnya dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, oleh kerana pembinaan bangunan-bangunan Fakulti Sains hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada bulan Mei 1960, sebahagian daripada Kursus Sains diadakan di makmal-makmal yang dipinjamkan oleh Kolej Teknik dan Victoria Institution.

Pintu gerbang ikonik UM.
Kolej Kediaman Pertama UM.

Dalam sesi ini terdapat seramai 323 orang pelajar mengikuti kursus-kursus Sastera (163), Sains (31) dan Kejuruteraan (129).

Pada 18 Jun 1959, UM di Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Mohammad.

Pada tahun 1960, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan Singapura mengumumkan untuk menubuhkan universiti yang berasingan. Satu di Persekutuan dan satu lagi di Singapura dengan masing-masing mempunyai kuasa autonomi sendiri.

Berbangkit daripada keputusan untuk menjadikan bahagian yang di Singapura dan bahagian yang di Kuala Lumpur sebagai dua buah universiti yang berasingan, sebuah jawatankuasa bersama yang mengandungi wakil-wakil dari pihak universiti dan kedua-dua buah kerajaan telah ditubuhkan untuk membincangkan pelbagai isu mengenai universiti tersebut keseluruhannya.

Jawatankuasa-jawatankuasa Bersama yang serupa yang mengandungi wakil-wakil, Bahagian dan kerajaan di mana Bahagian itu terletak, telah juga ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan Bahagian tersebut sahaja, dan untuk merangka perlembagaan-perlembagaan baharu bagi kedua-dua buah universiti yang baharu itu.

Fakulti Sains, UM.

Melalui kerjasama erat di antara wakil-wakil universiti, Bahagian dan kerajaan, kerja-kerja merangka perlembagaan-perlembagaan itu telah dapat disiapkan dalam waktu yang singkat.

Draf perlembagaan bagi UM yang baharu telah diterima dengan beberapa pindaan oleh Parlimen Persekutuan dalam bulan Oktober 1961, sementara draf Perlembagaan bagi Universiti Singapura pula telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Perundangan Singapura pada bulan Disember 1961.

Pada 1 Januari 1962, UM menjadi universiti kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu melalui Akta Universiti Malaya 1961, dan pada waktu yang sama UM di Singapura menjadi Universiti Singapura.