lrt
Datuk Seri Wee Ka Siong meninjau lokasi kejadian tren LRT bertembung. - Gambar FB Wee Ka Siong

KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kemalangan membabitkan kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pasukan itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi di bawahnya.

WEE Ka Siong bertanya khabar dengan salah seorang penumpang LRT yang cedera.

Dalam sidang akhbarnya di Avenu K selepas meninjau lokasi kejadian, Ka Siong berkata, pasukan berkenaan akan menyiasat kejadian itu secepat mungkin dan hasilnya dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.

“Ini merupakan kejadian pertama kali selepas 23 tahun (LRT) Laluan Kelana jaya ini beroperasi. Kerajaan berasa sedih dengan kemalangan ini.

BERITA BERKAITAN Muhyiddin arah siasatan penuh punca kemalangan tren LRT, segera ambil tindakan tegas

“Kementerian akan tubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian ini dan esok Ketua Pengarah Agensi Pengakutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri, akan menghantar laporan awal kemalangan ini kepada saya.

“Dalam tempoh dua minggu ini, pasukan petugas khas akan mengumpulkan hasil siasatan kepada saya dan dalam tempoh dua minggu kita akan kenal pasti sama ada ia disebabkan kesilapan sistem signal atau komunikasi, ataupun kesilapan manusia.

“Kita akan pastikan apa punca yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya malam tadi.

WEE Ka Siong berada di lokasi kejadian ketika kerja-kerja menyelamat mangsa LRT bertembung dijalankan malam ini. – Gambar FB Wee Ka Siong

Dalam kejadian itu, seramai 47 penumpang parah, manakala 166 cedera ringan.

Penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain di Lembah Klang untuk rawatan lanjut.

Terdapat 232 penumpang dalam salah satu tren yang berlanggar dengan sebuah tren lain yang tidak membawa penumpang yang berada di laluan LRT Kelana Jaya.