Oleh : DATUK DR. NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS

DAKWAAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa Pharmaniaga Berhad memonopoli pembelian vaksin COVID-19.

PENJELASAN: Pembelian vaksin dan ubat-ubatan bukanlah seperti membeli gula-gula di kedai runcit. Ia melibatkan tatacara kompleks yang melibatkan kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) yang perlu dibuat secara telus, strategik, serta melibatkan prosedur dan memenuhi syarat ketat pihak berkuasa.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberikan kelulusan kepada Pharmaniaga untuk membekalkan vaksin Sinovac daripada China kepada pihak kerajaan.

Pada masa yang sama, Sinovac Life Sciences di Beijing telah melantik Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif di Malaysia bagi produk vaksin siap serta vaksin fill and finish melalui Perjanjian Pindah Teknologi.

Vaksin jenis AstraZeneca pula diperoleh secara terus melalui AstraZeneca Malaysia dan program COVAX WHO, manakala Pfizer diperoleh menerusi rundingan terus dengan Pfizer USA dan pengedarannya dilakukan oleh syarikat DHL.

Buat masa ini, hanya tiga vaksin ini telah mendapat kelulusan NPRA selepas melalui proses penilaian yang ketat. NPRA memainkan peranan penting dalam industri farmaseutikal kerana ianya melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna.

Dalam erti kata lain, hanya syarikat yang telah mendapat kelulusan NPRA dan Kebenaran Pengilang Asal dibenarkan untuk membuat proses import.

Ia tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mengelakkan vaksin atau ubat tiruan yang boleh mengancam nyawa dan kepentingan rakyat. Keselamatan pengguna adalah keutamaan negara apabila melibatkan soal vaksin dan ubat-ubatan.

DAKWAAN: Ada juga yang mempertikaikan kenapa Pharmaniaga perlu mengilangkan semula vaksin Sinovac?

PENJELASAN: Pertama, ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan kerana proses ‘fill and finish’ dikilangkan dalam negara. Sekiranya produk siap vaksin dibeli terus dari China, harganya jauh lebih mahal.

Vaksin Sinovac tiba di Malaysia dalam bentuk pukal dan perlu dikilangkan secara ‘fill and finish’ dalam persekitaran yang amat steril, serta perlu menjalani 12 jenis ujian kualiti dan kelulusan oleh NPRA sebelum boleh diedarkan kepada pengguna.

Kilang Pharmaniaga yang membuat proses ‘fill and finish’ telah mendapat pengiktirafan dan persijilan dari pihak EU.

Kita sepatutnya berbangga kerana syarikat Malaysia seperti Pharmaniaga mempunyai kepakaran berteknologi tinggi dan mempunyai lebih dari 300 orang saintis muda tempatan negara, serta berkeupayaan melaksanakannya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pharmaniaga mempunyai fasiliti berteknologi tinggi yang lengkap dan canggih. Pengilangan vaksin bukan seperti membotolkan kicap. Setiap proses perlu mematuhi prosedur ketat oleh pihak NPRA.

Jika ada syarikat atau penderma yang baik hati untuk dermakan vaksin, kita perlu pastikan mereka mendapatkan vaksin mengikut prosedur dan mempunyai fasiliti yang lengkap serta keupayaan seperti Pharmaniaga dan mendapat kelulusan NPRA.

Sekiranya faktor ini diberikan perhatian barulah tidak kena scam seperti yang berlaku pada kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Isu vaksin sengaja dipolitikkan untuk menimbulkan kemarahan serta kekeliruan rakyat.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini supaya kita cepat bebas daripada ancaman COVID-19.

  • Penulis adalah Exco Pemuda UMNO dan Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad