WEE KA SIONG ketika meninjau insiden pelanggaran LRT malam tadi./ Gambar FB Wee Ka Siong

PUNCA kemalangan transit aliran ringan (LRT) di ibu negara semalam disahkan akibat kecuaian pemandu yang memandu tren TR40 dalam arah salah.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hasil dapatan awal Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Menurut Ka Siong, TR40 dipandu ke arah salah yang mana sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju Stesen Dang Wangi atau south bound.

Namun, katanya, apa yang berlaku semalam, tren itu dipandu ke arah ‘north bound’ dan ini menyebabkan pelanggaran dengan satu lagi tren yang membawa 213 penumpang iaitu TR81.

“Ini dapatan awal punca kemalangan yang dikemukakan oleh APAD kepada saya pagi ini,” katanya dalam temu bual BernamaTV dari pejabatnya hari ini.

Beliau berkata, sistem kawalan LRT sepatutnya dikawal secara automatik sepenuhnya, namun ketika kejadian semalam, sebuah tren dipandu secara manual.

Katanya, tren itu sedang dalam pandu uji setelah ada masalah teknikal.

“Kalau ikutkan semua tren dikendalikan secara automatik, tetapi disebabkan satu daripada tren iaitu nombor 40 mengalami masalah teknikal, pemandu terpaksa memandunya ke depoh,” katanya.

lrt
Datuk Seri Wee Ka Siong meninjau lokasi kejadian tren LRT bertembung. – Gambar FB Wee Ka Siong

Menurutnya, Prasarana sudah membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan sama ada kejadian itu berunsurkan jenayah atau sebaliknya.

“Kalau elemen jenayah ini kita bagi polis yang siasat.

“Bagi Kementerian Pengangkutan kita akan siasat dari segi teknikal dan bagaimana kita boleh tambah baik kerana sistem pengangkutan awam ini sangat penting,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kemalangan LRT, 6 penumpang di ICU, 3 perlu ventilator

Tajuddin ulas kenapa tak tinjau malam tadi, Prasarana mohon maaf kejadian

Beliau berkata, walaupun kelajuan tren itu tidak begitu tinggi, tetapi apabila bertembung ia menghasilkan impak yang kuat.

Kata Ka Siong, pakar juga akan melihat beberapa elemen termasuk komunikasi dan semua aspek di mana berlakunya kesilapan.

“Saya akan pastikan laporan ini akan dibuat secara telus. Kita nak pandang ke depan untuk menambah baik sistem pengangkutan kita,” katanya.

Katanya, seramai 64 mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tambah Ka Siong, kerja-kerja pembersihan debris perlu dilakukan Prasarana Malaysia Berhad dalam tempoh tiga hari.

“Ini SOP kita,” katanya sambil menambah anggaran kerugian belum dapat dipastikan.

Katanya, walau dalam tempoh PKP, kementerian telah mengarahkan aspek SOP kapasiti penumpang dipatuhi Prasarana Malaysia di sebalik insiden ini.

Dalam kejadian malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang cedera parah apabila dua LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya, bertembung di antara stesen Kampung Baru dan KLCC kira-kira jam 8.33 malam.

Dalam sidang media hari ini, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Rahman mengumumkan semua mangsa diberikan RM1,000 setiap seorang serta bantuan kewangan untuk rawatan susulan bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung.

Selain itu, bantuan sara hidup juga disediakan kepada mangsa yang kehilangan pendapatan akibat daripada kemalangan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram