tip jaga baju

Ramai yang suka membeli pakaian namun tidak ramai yang tahu menjaganya dengan baik. Pakaian baru bersilih ganti dek kerana pakaian sedia ada mudah rosak, pudar dan koyak.

HF kongsikan beberapa panduan untuk memastikan pakaian dalam wardrobe anda kekal sempurna untuk tempoh yang lebih lama.

Rendam secukupnya

Rendam pakaian sekadarnya. Jangan biarkan sehingga air cucian atau pewangi berubah menjadi busuk. Bila dirasa sudah cukup, maka pakaian anda sudah sedia dicuci.

Elak kerap mencuci

Terlalu kerap mencuci pakaian dalam tempoh waktu yang singkat akan merosakkan pakaian. Ia mudah luntur dan koyak. Pakaian seperti jaket dan jeans tidak perlu dicuci setiap kali digunakan. Untuk membunuh kuman, jemurlah sekitar dua hingga tiga jam di bawah sinar matahari.

Asingkan pakaian

Sebaiknya asingkan pakaian mengikut kesesuaian, contohnya warna baju. Elakkan mencampurkan baju putih dan baju berwarna kerana dikhuatiri warna akan luntur dan merosakkan pakaian putih.

Elak guna air panas

Baju yang kerap dicuci menggunakan air panas hanya akan merosakkan baju anda.

Jaga butang dan aksesori

Pakaian yang mempunyai butang, renda, manik dan perincian memerlukan penjagaan rapi ketika dicuci. Anda boleh gunakan beg jaring atau kantung bagi mengelakkan perincian rosak ketika cucian mesin.

Cucian tangan

Pakaian fabrik lembut dan ringan seperti tudung lebih elok dicuci menggunakan tangan bagi mengelakkannya mudah koyak.

Gantung dan lipat

Pastikan anda menggantung pakaian yang seharusnya digantung dan melipat pakaian yang seharusnya dilipat.

Gunakan pewangi

Pada bilasan terakhir, gunakan cairan pelembut dan pewangi pakaian untuk hasil pencucian yang terbaik.

Seterika dengan pelicin

Ketika menggosok pakaian, gunakan cairan pelicin pakaian agar hasil seterika lebih lembut, licin dan harum.

Baju kering sepenuhnya

Sebelum menyimpan pakaian di dalam almari, sebaiknya pastikan terlebih dahulu tahap kekeringan pakaian tersebut. Pastikan telah benar-benar kering agar tidak menimbulkan bau tidak menyenangkan.