Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad menarik perhatian netizen dengan nukilan ‘makan dalam’ yang ditulisnya sendiri tentang isu Covid-19 yang semakin meningkat di negara kita.

“Mungkin sebab terlalu lama geram disebabkan kes semakin meningkat. Jadi, beberapa hari lepas terus terfikir nak menulis sesuatu tentang Covid-19 sebab waktu itu tak boleh tidur.

“Walaupun ramai yang kongsi tentang info daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan nasihat tentang bahaya Covid-19, tapi masih ada yang berdegil.

“Jadi, sindiran begini saya rasa lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi URTV.

Video berdurasi 1 minit 30 saat dengan kapsyen yang bertajuk PKP Lagi Dan Lagi di muat naik Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, di semua platform media sosial miliknya itu bertujuan agar semua lapisan umur dapat memahami perkongsian tersebut.

Menurut Uyaina, video berkenaan tidak memihak kepada sesiapa dan ia lebih bersifat terbuka dalam mengupas isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

“Bila saya buat video itu, saya ‘pukul rata’ semua orang. Tak kisah siapa pun orang itu, kalau anda langgar prosedur operasi standard (SOP), video tersebut untuk anda. Siapa makan cili dia terasa pedasnya,” ujarnya.

Sementara itu, Uyaina tidak menyangka perkongsian video tersebut mendapat maklum balas yang positif daripada netizen dan rakan selebriti.

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih hampir 754 ribu jumlah tontonan di Instagram dan 74 ribu tanda suka.

“Rakan-rakan selebriti turut berkongsi dan menyokong pengisian video berkenaan. Malah, netizen juga ada yang sependapat dan sebaliknya.

“Tapi apa yang boleh saya katakan, rata-rata memberikan sokongan… komen pun dah lebih seribu.

“Harapnya mesej tersebut sampailah kepada mereka,” ulasnya.

Uyaina juga berharap agar semua rakyat Malaysia dapat menjaga SOP dan sama-sama berusaha untuk bekerjasama agar penularan Covid-19 ini dapat dihentikan.

“Benda ni kena seimbang. Semua kena sama-sama main peranan. Kes semakin tinggi. Kita sendiri kena jaga diri kita. Tak boleh terus-menerus menyalahkan orang lain,” tegasnya.