SAAT yang ditunggu telah tiba, pendaftaran vaksin AstraZeneca pusingan kedua untuk golongan berusia bawah 60 tahun dibuka mulai 12 tengah hari esok.

Perkara itu diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebentar tadi.

Malah, pusat pemberian vaksin (PPV) AstraZeneca bukan sahaja terhad di Lembah Klang seperti pusingan pertama tetapi juga meliputi Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, langkah itu bagi mempercepatkan slot proses temu janji pengambilan AstraZeneca pusingan kedua dengan warga emas terus diberi keutamaan.

“Oleh kerana tempahan slot AstraZeneca bagi warga emas dalam lingkungan 280,000 dan beberapa hari juga telah diperuntukkan kepada golongan itu.

“Maka Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah putuskan bahawa kemudahan vaksin AstraZeneca pusingan kedua di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri akan dibuka kepada orang ramai di bawah usia 60 tahun pada 12 tengah hari Rabu, 26 Mei iaitu esok,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar itu dilakukan bersama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebeum ini pada pusingan pertama, slot temujanji vaksin AstraZeneca habis ditempah dalam masa kurang empat jam sahaja di sebalik ada sedikit kerisauan mengenai kesan sampingan.

Sambutan baik rakyat Malaysia itu menunjukkan petanda positif kepada kejayaan program vaksinasi kebangsaan walaupun masih ada isu kebimbangan tidak berasas mengenai vaksin dan kesan sampingannya.

Baca artikel berkaitan: Daripada bertekak pasal laksa, lagi baik ‘bergaduh’ hal vaksin

2.342 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan

Sementara itu kata Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan, untuk vaksin Pfizer dan Sinovac, kerajaan akan terus beri keutamaan kepada warga emas melalui janji temu pusat vaksinasi arus perdana am.

Dalam sidang akhbar itu, beliau juga memaklumkan petugas media juga kini disenaraikan sebagai penerima vaksin untuk fasa kedua.

Katanya, kira-kira 5,000 petugas media akan terlibat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram