Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Facebook MKN

COVID-19 itu bukan perkara main-main apatah lagi dengan penularan varian baharu yang lebih agresif ketika ini.

Faktanya, jumlah korban angkara COVID-19 saban hari semakin bertambah.

Sebanyak 63 lagi kes kematian dilaporkan hari ini sekali gus menjadi rekod tertinggi korban harian setakat ini.

Dalam tempoh satu minggu sahaja, sebanyak 392 kes kematian telah direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhan kes kematian hari ini melibatkan 57 rakyat Malaysia manakala enam lagi bukan warganegara.

Kata beliau, sebanyak 24 kes dilaporkan di Selangor, sembilan kes di Kuala Lumpur manakala masing-masing lapan kes di Johor serta Kedah.

Beliau memaklumkan, lima kes kematian dikesan di Perak, tiga di Melaka, masing-masing dua di Sarawak dan Negeri Sembilan serta satu dikenal pasti di Sabah dan Pahang.

Baca artikel berkaitan: Rekod baharu lagi hari ini, kes COVID-19 cecah 7,478!

“Pertambahan kes kematian hari ini menjadikan kumulatif korban COVID-19 berjumlah 2,432 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan perkongsian data kes kematian hari ini, korban termuda melibatkan seorang lelaki berusia 20 tahun di Hospital Sungai Buloh yang tidak dinyatakan latar belakang penyakit.

Kematian paling tua pula melibatkan seorang wanita berusia 94 tahun di Hospital Ampang yang juga tidak dinyatakan latar belakang penyakit.

Terdapat empat kes kematian dilaporkan dalam kalangan pesakit berusia 40-an hari ini.

Dua daripadanya iaitu seorang wanita berusia 38 tahun yang meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan seorang lagi wanita berumur 35 tahun di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas tidak mempunyai latar belakang penyakit.

Seorang wanita berusia 30 tahun meninggal dunia di Hospital Kajang mempunyai latar belakang obesiti manakala seorang lagi wanita 34 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mempunyai latar belakang kencing manis.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 756 kes dikesan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 377 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau, pertambahan kes baharu hari ini telah menjadikan kes aktif ketika ini mencecah 66,208.

Beliau berkata, sebanyak 22 kluster baharu turut dilaporkan hari ini menjadikan kluster aktif berjumlah 593 kluster.

Daripada keseluruhan terbabit, beliau memaklumkan 13 kluster merupakan kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti dan tiga lagi kluster keagamaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram