Pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan bermula bulan depan dengan keutamaan kepada golongan rentan dan berisiko tinggi dijangkiti virus itu. GAMBAR: Abd Razak Aid

BUKAN sebab percaya ‘Mak Teh’ tetapi masih belum bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19.

Itu adalah antara alasan yang menjadi punca 10,827 individu dikesan tidak hadir memperoleh vaksin di Kedah.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera, namun tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.

Menurut BH Online yang memetik Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang, ia membabitkan individu yang sepatutnya menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri berkenaan.

Beliau berkata, selain belum bersedia, antara alasan lain adalah tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin di samping berada di luar kawasan menyebabkan mereka tidak hadir.

“Selain itu, ada yang memberitahu bahawa mereka tiada kenderaan untuk hadir ke PPV serta ada yang memohon menukar tarikh pada saat akhir,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.

Baca artikel berkaitan: Vaksin Pfizer, AstraZeneca bantu 96 peratus rakyat Britain miliki antibodi melawan Covid-19 selepas dos pertama

Bagaimanapun, Dr. Mohd. Fikri berkata, kesemua dos vaksin tersebut sudah diberikan kepada individu lain dalam senarai menunggu.

Katanya, senarai berkenaan melibatkan mereka yang memenuhi kriteria untuk suntikan vaksin dalam fasa kedua.

Pada masa sama, Dr. Mohd. Fikri turut menyeru orang ramai supaya mengambil langkah proaktif dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Ini berikutan kes harian semakin meningkat sehingga menjangkau lebih 7,000 jangkitan baharu di seluruh negara semalam termasuk lebih 300 kes di Kedah,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Mohd. Fikri turut memberitahu, Kedah kini mempunyai 12 PPV awam dan 22 PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, kata beliau, 14 PPV klinik swasta dan dua PPV hospital swasta iaitu Putra Medical Centre (PMC) di Alor Setar serta Hospital Pantai, Sungai Petani.

Menurut beliau, PPV klinik swasta dan hospital dijangka ditambah selepas ini bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram