perbuatan Ikhlas boleh diukur

Suatu yang menarik telah ditemui oleh Dr. Mohammad Salleh, Pensyarah Fakulti Tarbiyah IAIN Sunan Ampel, Surabaya.

Pada mulanya dia menjalankan kajian mengenai solat tahajud sebagai terapi penyembuh yang dilaporkan sepenuhnya di dalam buku Terapi Solat Tahajud tetapi ditemui juga rahsia ikhlas.

Ketika menjalankan kajian itu Dr. Mohammad Salleh mendapati,  ikhlas boleh diukur menggunakan kaedah sains. Ini bermakna dakwaan ulama dan para kiai yang mengatakan ikhlas itu urusan hati dan Allah adalah tidak benar.

Menurut mereka, ikhlas itu perkara yang tidak boleh diukur dan hanya hati saja yang mengetahui. Hampir-hampir saja hal ikhlas itu menjadi perkara yang cukup misteri. Ia boleh diucapkan dengan kata-kata tetapi tidak boleh dipegang. Namun masih boleh dirasakan dengan hati nurani yang murni.

Sesungguhnya kita akan tahu apabila ikhlas itu lahir dan bila ketikanya ikhlas itu menjadi hipokrit. Itu persoalan hati katanya, tidak ada siapa yang tahu. 

Dr. Mohammad Salleh di dalam kajiannya tidak bermaksud untuk mengukur sejauh mana ikhlasnya hati. Namun apa yang ditemui jauh lebih dari yang diharapkan. Tujuan asalnya hanyalah untuk mengetahui keampuhan solat tahajud sebagai penyembuh penyakit.

Di akhir kajian dia dapat merumuskan, hati yang ikhlas ketika beribadat boleh diukur dengan rembesan hormon kortisol. Ibadat yang dilakukan dengan ikhlas dapat menurunkan rembesan hormon kortisol. Yang mana para saintis sering menggunakan hormon kortisol sebagai tolok ukur stres dan homeostasis tubuh.

Solat dan ibadah dengan tenang mengurangkan rembesan hormon kortisol dan terhindar stres.

Di dalam kajian yang dilakukan dapat dikenal pasti, ibadat yang dilakukan di dalam keadaan tertekan, terpaksa dan menganggapnya sebagai satu bebanan, tidak memberikan manfaat. Sebaliknya ia hanya menambahkan masalah kesihatan dan mendatangkan penyakit lain.  Ketika itu, hormon kortisol dirembeskan dengan banyak dan menjadi penanda kepada stres.

Ketika ibadat terutama solat yang dilakukan di dalam keadaan tenang dan penuh keikhlasan dan khusyuk, maka hormon kortisol yang dirembeskan amat sedikit dan terkawal maka pengamal ibadat akan terhindar dari stres.

Di situlah letaknya kunci kepada ibadat, adalah ikhlas untuk mendapatkan manfaat daripada ibadat yang dilakukan.

Kajian itu juga membandingkan dengan orang yang melakukan solat tetapi di dalam keadaan terpaksa, dan ibadat itu dianggap sebagai satu beban. Walaupun mereka mengatakan, melakukannya dengan  ikhlas kerana Allah,  namun ada sesuatu yang tidak boleh ditipu.  

Ya! hormon di dalam badan yang akan dirembeskan pada ketika tertentu, ada yang keluar dengan banyak ketika badan di dalam keadaan stres. Pada ketika yang lainnya pula ada hormon yang dirembeskan ketika berada di dalam keadaan gembira.

Kehadiran hormon itulah yang disukat untuk menjadi pengukur ikhlas di dalam ibadat yang dilakukan. Benarlah ibadat yang penuh dengan keikhlasan itu adalah penawar.

Apa itu kortisol?

Kortisol adalah sejenis hormon yang dirembeskan oleh kelenjar adrenal kesan dari tindak balas stres dan kerana tahap glucocorticoids darah yang rendah.

Tugas utamanya untuk menaikkan paras gula darah semasa proses gluconeogenesis, menekan sistem pertahanan badan, membantu metabolisme lemak, protein dan karbohidrat. Semasa mengandung pada minggu ke-30 dan 32, hormon kortisol akan dirembeskan dengan banyak di dalam membantu pembentukan paru-paru janin.

Hormon itu akan berada pada paras yang paling rendah di awal pagi iaitu sekitar pukul 4 pagi hinggalah saat bangun tidur.

Ada beberapa perkara yang akan mempengaruhi kadar rembesan hormon itu yang ada hubungan secara langsung dengan paras hormon adrenocorticotropic (ACTH).

Dengar muzik juga membantu mengurangkan rembesan hormon katisol

Beberapa keadaan lain seperti demam, kemurungan, stres, kesakitan, trauma, pembedahan ketakutan, perubahan cuaca ekstrem, kafein, sukar tidur, melecur, anorexia nervosa, pil perancang dan berulang alik untuk perjalanan yang jauh juga mempengaruhi tahap rembesan kortisol. Keadaan ini tidak baik untuk tubuh.

Untuk menghindarkan rembesan kortisol berterusan ada beberapa perkara yang boleh mengurangkan paras kortisol antaranya melakukan senaman aerobik (sewaktu kali pertama melakukan senaman, paras kortisol naik tetapi latihan yang berpanjangan dan teratur ia mula turun), asid lemak Omega 3, terapi muzik, urutan, ketawa, menangis, vitamin C, teh hitam, menari tango dan melakukan hubungan intim.

Dengan kurangnya paras kortisol akan menyebabkan tubuh menjadi lebih sihat dan minda menjadi lebih tenang. Dan inilah yang seharusnya kita lakukan. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram