INDUSTRI hiburan tanah air kehilangan seorang insan seni iaitu pelakon dan pelawak terkenal, Ramansundran Rengan,57, yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur sekitar pukul 2 pagi tadi.

Berita sedih itu disahkan oleh Persatuan Seniman Malaysia yang dikongsikan menerusi akaun Instagram dan Facebook.

“Kita kehilangan seorang pelakon, pelawak, penyanyi dan pengarah yang sangat berdedikasi serta komited dengan kerjanya.

“Rama meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur antara pukul 2 hingga 2.30 pagi tadi. Mendiang mengalami bengkak kaki dan dibawa ke bahagian kecemasan pada pukul 12 hingga 12.30 pagi.

“Sejam kemudian, doktor mengesahkan bahawa Rama telah tiada (meninggal dunia).

“Sebelum ini, Rama pernah mempunyai sejarah masalah jantung. Dia meninggalkan kenangan manis kepada semua sahabat-sahabat.

“Salam takziah buat isterinya, Kamala dan keluarga. Selamat tinggal Rama, berehatlah dengan tenang,” katanya.

Pemergian mendiang Rama nyata meninggalkan kesan buat rakan-rakan artis yang bersedih dengan kehilangan sebutir permata yang disenangi penggiat seni itu.

Sepanjang karier seninya, Rama terkenal dengan watak Rajoo yang dilakonkan dalam sitkom Spanar Jaya yang popular pada tahun 90-an.

Selain itu, Rama turut pernah membintangi beberapa filem antaranya Kerja Kahwin, Sini Ada Hantu, Aku Kaya The Movie dan Cinta 200 Ela.

Mendiang turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia, Penolong Setiausaha Yayasan Artis Veteran Malaysia dan turut aktif dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.