SABTU lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tegas menyatakan pemakaian niqab atau alat perlindungan muka sahaja tidak mencukupi, sebaliknya setiap individu diwajibkan memakai pelitup muka.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tular gambar selebriti, Neelofa didakwa tidak memakai pelitup muka di sebalik niqab yang dipakai.

Semalam, tular pula video menunjukkan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hanya mengenakan alat perlindungan muka tanpa memakai pelitup muka.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan ke atas Tajuddin yang didakwa melakukan perkara berkenaan sewaktu mengadakan sidang akhbar setelah selesai meninjau insiden kemalangan melibatkan tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin.

Baca artikel berkaitan: Tajuddin ulas kenapa tak tinjau malam tadi, Prasarana mohon maaf kejadian

Beliau berkata, semua yang terlibat dalam kes tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Polis Dang Wangi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

“Kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Zainal turut menasihati orang ramai untuk terus mematuhi SP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang dan peraturan yang masih berkuatkuasa,” jelas beliau.

Tajuddin dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi kemalangan membabitkan dua tren LRT semalam, dilihat hanya memakai alat pelindung muka tanpa pelitup muka.

Video sidang akhbar tersebut juga tular dalam media sosial yang mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan warga maya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram