PANDEMIK COVID-19 secara langsung telah mengubah cara rakyat negara ini berbelanja secara berhemah terutama dalam memastikan kecairan tunai di tangan, dengan 58% pengguna didapati hanya membeli barangan mengikut keperluan, kata satu tinjauan yang dijalankan syarikat e-peruncit Oxwhite.
Kajian itu mendapati orang ramai dilihat lebih berhati-hati dalam corak perbelanjaan semasa musim pandemik yang berkemungkinan didorong ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh pelbagai kekangan berkaitan pandemik.
Menurut pengasas Oxwhite, CK Changr (gambar kecil), seramai 24% pengguna akan berbelanja mengikut senarai hajat mereka, 12.5% berdasarkan dorongan kehendak manakala baki 5.5% adalah mereka yang membeli produk terbaharu dengan trend terkini.
Katanya, tinjauan yang dilakukan terbahagi kepada empat kategori pendapatan di mana 48% merupakan responden yang memperoleh julat gaji antara RM2,001 hingga RM5,000, 22% (RM2,000 ke bawah) dan 19% (RM5,001 – RM8,000).
“Baki 11% merupakan mereka yang berpendapatan RM8,001 ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, hasil kajian mendapati julat pendapatan rakyat Malaysia bukan faktor penentu terhadap kecenderungan ketika membeli-belah.
“Ironinya, peratusan responden yang mengatakan bahawa mereka hanya berbelanja mengikut keperluan adalah mereka daripada kumpulan berpendapatan tertinggi dan rendah,” katanya.
Baca artikel berkaitan: PKP: Pusat beli-belah lengang, tanda orang ramai patuhi SOP
Tambahnya trend belian berdasarkan keperluan adalah kebiasaan dalam kumpulan berpendapatan bulanan melebihi RM8,001 (68%), antara RM5,001 dan RM8,000 (68%) dan di bawah RM2,000 (62%).
“Senarai hajat (29%), belian secara dorongan kehendak (13%) dan trend (9%) lebih popular di kalangan responden dengan pendapatan bulanan RM2,001 dan RM5,000.
“Ia mungkin disebabkan kumpulan ini, umumnya tidak terikat dengan komitmen kewangan yang tinggi berbanding dengan kumpulan berpendapatan lebih tinggi,” katanya.
Sebab lain kumpulan ini mungkin mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna berbanding dengan kumpulan julat bawahan, setelah mengambil kira perbelanjaan asas seperti makanan, sewa, pengangkutan dan lain-lain.
Dalam pada itu, bersempena dengan ulang tahun ketiga Oxwhite, syarikat e-peruncit itu telah bekerjasama dengan Baskin Robbins, Getha, Happy Fresh, Photobook, Tanamera dan Tealive untuk membawa lebih banyak nilai kepada pelanggannya dengan tawaran hadiah bernilai lebih daripada RM1 juta melalui pembelian.
Bermula 1 Jun hingga 30 Jun, pelanggan Oxwhite akan menerima kejutan berupa baucar RM3 aiskrim Baskin Robbins, hadiah utama Getha Compass Star King Mattress bernilai RM6,399 dan baucar Happy Fresh bernilai RM2,100.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram