TAK ada orang hantar, tempat vaksin jauh dari rumah dan 1,001 macam alasan lagi diberikan mereka yang tidak hadir temu janji suntikan vaksin COVID-19 di Negeri Sembilan.
Keseluruhannya, kira-kira 6,200 yang dikesan tidak hadir temu janji bawah fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membabitkan lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri berkenaan sejak April lalu hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, alasan lain diberikan termasuk tidak menyemak MySejahtera dan terlepas janji temu.
“Selain itu, ada yang mendakwa PPV jauh dari kediaman mereka. Sebagai contoh, dapat janji temu di PPV Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tetapi rumah di luar daerah.
“Ada juga yang memberi alasan tidak dapat ke PPV kerana tiada siapa yang boleh menghantarnya.
“Selain itu, ada individu tidak dapat hadir kerana menjadi kontak rapat atau dikesan positif COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV di Hospital UCSI hari ini.
Baca artikel berkaitan: Betul Eina Azman sudah divaksin, tapi mereka tak potong barisan – Pengarah HRPB
Rakyat Malaysia takut vaksin? Dalam 1 jam setengah, tempahan AstraZeneca habis
Tambah Veerapan, orang ramai diingatkan supaya mengambil serius kepentingan suntikan vaksin COVID-19 bagi mengekang penularan wabak itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, lima hospital swasta dan lapan klinik swasta di negeri ini turut dijadikan PPV, termasuk Hospital UCSI, Mawar Medical Centre, Salam Senawang Specialist Hospital, KPJ Seremban Specialist Hospital dan Nilai Medical Centre.
“Lapan klinik swasta terbabit pula ialah Klinik Anda dan Poliklinik Damai di Senawang; Klinik AMC, Klinik Icon, dan Klinik Daniel, Seremban 2; serta Klinik Nisa, Klinik Desaria dan Klinik Dr Lee, Nilai,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram