noor hisham
Dr Noor Hisham Abdullah.

RINGKAS tetapi sejuta makna. “Kami perlukan sokongan anda untuk melindungi sistem penjagaan kesihatan dan petugas barisan hadapan daripada lumpuh sepenuhnya.”

Hantaran terbaru Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook seharusnya menjadi perhatian ramai.

Dalam bahasa Inggeris, beliau meningatkan mengenai “total collapse” ke atas sistem penjagaan kesihatan negara yang amat dibimbangi semua jika kes baharu COVID-19 terus meningkatkan.

Justeru, biar pun kerajaan memilih untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Mac tahun lalu atas sebab ekonomi, namun rakyat masih boleh melaksanakan lockdown kendiri.

Menerusi media sosialnya, Noor Hisham mengingatkan yang virus tidak bergerak kecuali manusia yang bawa.

Beliau membangkitkan mengenai jumlah kes harian akibat COVID-19 semakin meningkat selain kes kematian, kes di ICU dan kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam bahasa mudah, tegas Noor Hisham , “Hospital dan PKRC semakin penuh”.

Kes baharu COVID-19 di Malaysia kini sudah melepasi angka 7,000 buat hari kedua berturut-turut justeru lockdown kendiri disarankan Dr Noor Hisham bagi mengelakkan sistem penjagaan kesihatan daripada lumpuh.

Baca artikel berkaitan: Rekod baharu lagi hari ini, kes COVID-19 cecah 7,478!

63 korban COVID-19, 22 kluster baharu, 13 di tempat kerja

“Oleh itu, KKM ingin terus menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan Kawalan Pergerakan Kendiri dan keluarga sebagai langkah memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Ini mengambil kira situasi semasa yang semakin serius di mana COVID-19 menular di kebanyakan tempat, akibat daripada peningkatan kes-kes sporadik dalam komuniti.

“Secara tidak sedar, sesiapa sahaja boleh dijangkiti atau menjangkiti individu lain,” jelasnya.

Tambahnya, rutin lockdown kendiri yang dianjurkan KKM sesuatu yang tidak asing bagi penduduk Malaysia.

“Kita pernah membuktikan bahawa Malaysia mampu mengawal pandemik COVID-19 dengan mencatatkan sifar kes harian pada gelombang kedua.

“Kita haruslah terus konsisten mematuhi SOP yang telah digariskan dan berusaha mengamalkan langkah-langkah Kawalan Pergerakan Kendiri dan Keluarga.

“Kita mungkin belum menang, tetapi kita belum kalah. Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram