Orang ramai berharap perkhidmatan LRT kembali lancar selepas segala masalah teknikal dapat diselesaikan ketika tinjauan UtusanTV di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PADA Selasa lalu, media sosial dipenuhi dengan kritikan orang ramai apabila perkhidmatan LRT mengalami kesesakan luar biasa.

Selain ia berpunca daripada kemalangan melibatkan dua tren sehari sebelumnya, mengehadkan kapasiti penumpang bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut, hingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum turut memburukkan keadaan.

Bagaimanapun hari ini orang ramai mula memahami masalah yang berlaku selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong memberi jaminan bahawa walaupun perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap disyaratkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 namun tanpa frekuensinya tidak akan dikurangkan sekaligus akan mampu mengelakkan kesesakan di stesen dan di dalam tren.

Sebahagian daripada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan LRT di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Mereka berharap perkhidmatan itu kembali lancar selepas segala masalah teknikal diselesaikan.

Tinjauan UtusanTV di Stesen LRT Masjid Jamek, mendapati keadaan menjadi sesak apabila orang ramai mula menunggu untuk ke tempat kerja antara jam 7 pagi hingga 8 pagi.

Anggota polis bantuan Prasarana membantu pergerakan orang ramai dan memberi arahan agar orang ramai mematuhi SOP termasuk tidak berebut-rebut menaikkan tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Anggota Polis Bantuan dan kakitangan Prasarana turut membantu pergerakan orang ramai dan memberi arahan agar orang ramai mematuhi SOP termasuk tidak berebut-rebut menaikkan tren.

Rata-rata penumpang ketika ditemui UtusanTV memahami situasi yang berlaku dan berharap usaha akan teruskan dilakukan bagi mengurangkan kesesakan terutamanya di dalam tren dan waktu ketibaan pengangkutan tersebut.

Menurut Yusri Ariffin,20, kebiasaannya dia menunggu antara 3 hingga 4 minit tetapi hari ini menunggu agak lama iaitu kira-kira hampir 20minit

Anggota polis bantuan Prasarana membuat rondaan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

https://utusantv.com/2021/05/26/isu-lrt-premis-makananjangan-pandang-remeh-keluhan-netizen/

“Sudah 9 tahun saya naik LRT ni, biasanya tiada masalah, kalau sesak tu biasanya waktu pagi dan petang sahaja, tapi sehari dua ni sahaja agak lambat, mungkin disebabkan kemalangan tempoh hari.” katanya ketika ditemui di Stesen LRT Masjid Jamek.

Katanya, dia dimaklumkan oleh kakitangan LRT , laluan dari Dang Wangi ke Ampang Park mengalami masalah teknikal dan laluan dari Ampang Park ke Masjid jamek masih lagi ditutup kerana kerja-kerja baik pulih.

Seorang lagi penumpang, M.Tharani, 28, bimbang suasana di dalam tren kerana orang ramai masih lagi tidak mengamalkan penjarakkan sosial.

M.Tharani, 28.

“Saya lihat orang ramai masih lagi berhimpit-himpit pada waktu puncak, terutama waktu pagi dan petang. Penumpang yang duduk tu ada penjarakkan sosial, tapi bagi yang berdiri ni, terpaksa berhimpit. Saya takut virus Covid-19 boleh tersebar.

”Kalau boleh saya minta seorang pegawai LRT buat ‘spot check’ di dalam tren bagi memastikan keadaan tidak sesak dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial,’’ katanya.

Orang ramai tidak mengamalkan penjarakkan sosial serta bersesak ketika berada di dalam tren LRT ketika tinjauan UtusanTV di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Wee Chee Kian, 34, pula mengakui dua tiga hari lepas ada kesesakan dan terpaksa beratur panjang tetapi dimaklumkan ada masalah teknikal memandang LRT terpaksa guna satu laluan sahaja berikutan laluan Ampang Park ke Masjid Jamek ditutup bagi kerja-kerja baik pulih.

“Setiap hari saya naik LRT, dari Wangsa Maju ke Stesen Ampang Park, tapi selepas kejadian kemalangan tempoh hari, tempoh masa saya menunggu hampir 30 minit, dua hari lalu, saya terpaksa naik Grab untuk ke tempat kerja kerana menunggu lama di dalam tren,’’ katanya.

Para Penumpang perlu menunggu lebih lama daripada biasa apabila Prasarana melakukan kerja baik pulih masalah teknikal ketika tinjauan UtusanTV di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Juana Marina Diana Japeri, 20 berkata, beratur panjang dan bersesak pada awal pagi dan petang sudah menjadi kebiasaan.

“Saya naik LRT dari Bukit Jalil ke Bangsar, beratur dan sesak awal pagi dan petang, saya sudah biasa keran saya akan keluar awal dari rumah, cuma bila LRT ada masalah teknikal, kami terpaksa menunggu lama,” katanya.

Orang ramai tidak mengamalkan penjarakkan sosial serta bersesak ketika berada di dalam tren LRT ketika tinjauan UtusanTV di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid