KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat peningkatan trend kluster tempat kerja yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.
Kata Noor Hisham, walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 12 Mei lalu, namun trend kluster di tempat kerja tidak menunjukkan penurunan ketara.
Menurut beliau, sebanyak 115 kluster tempat kerja dan 5,392 kes telah dilaporkan di antara 12 Mei 2021 sehingga semalam.
Katanya, lebih separuh daripada jumlah tersebut pula melibatkan sektor pengilangan iaitu 62 kluster atau 53.4 peratus.
“Oleh itu, KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan SOP baharu dikenali sebagai Safe@Work.
“Ini bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan COVID-19 seperti penubuhan pasukan kecemasan COVID-19 oleh pihak syarikat, sanitasi berkala premis, dan memastikan penginapan selesa bagi pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keseluruhannya, beliau berkata, bermula 1 April sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes.
Katanya, daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini adalah masih aktif, melibatkan sejumlah 16,785 kes aktif.
“Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja yang tertinggi dalam tempoh ini merupakan negeri Selangor dengan 74 kluster (25.78 peratus), negeri Johor dengan 53 kluster (18.47 peratus) dan negeri Pulau Pinang dengan 31 kluster (10.80 peratus).
“Analisa terperinci sub-kategori tempat kerja pula mendapati sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster yang tertinggi berbanding sub-kategori yang lain, iaitu sebanyak 132 kluster (46 peratus) dalam tempoh yang sama.
“Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster (20 peratus),” katanya.
Justeru, tegas Noor Hisham, KKM menasihatkan para majikan untuk memastikan langkah-langkah berikut adalah dilaksanakan di tempat kerja iaitu penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer dan pekerja mengenakan pelitup muka setiap masa.
Baca artikel berkaitan: Tiada ‘PKP penuh’ tapi tambah sekatan sosial, ekonomi – PMO
63 korban COVID-19, 22 kluster baharu, 13 di tempat kerja
“Selain itu, amalan penjarakkan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan; elakkan pekerja berkumpul di ruang yang sempit (confined space), elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (crowded place).
“Juga amalkan jarak 1 meter semasa bertutur (close conversation), kerap melaksanakan proses nyah kuman dan nyah cemar, terutamanya di ruang guna sama.
“Majikan juga disaran proaktif dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 turut diambil dan diikuti oleh pekerja di tempat penginapan mereka,” ujarnya.
Kata beliau, bagi pekerja-pekerja pula, adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan semasa di tempat kerja denganmenjaga keselamatan diri, memakai pelitup muka, tidak bersembang dekat, menjaga kebersihan tempat makan atau fasiliti gunasama dan memantau gejala, serta memaklumkan kepada majikan dengan kadar segera sekiranya bergejala.
“Elakkan datang bertugas bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit dan dapatkan pemeriksaan segera.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan yang kondusif dan selamat untuk digunakan. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan juga lain-lain jangkitan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram