Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

DATUK Seri Azalina Othman Said sekali lagi menggesa kerajaan membenarkan sidang Parlimen – kali ini disertakannya cadangan terperinci prosedur operasi standard (SOP) termasuk persidangan secara semuka dan virtual yang dilakukan di banyak negara.

Menurut Ahli Parlimen BN Pengerang itu, kerajaan tidak boleh melakukan proses lockdown ke atas proses demokrasi kerana itu hanya akan menafikan hak rakyat.

Katanya, ini apabila ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat tidak dilibat urus dengan kerajaan dalam maksud sebenar.

Sedangkan tegas beliau, berperang dengan virus COVID-19 yang tidak mengenal sempadan itu sama seperti perang yang lain iaitu perlu mendapat keyakinan awam atau public trust.

Bagi Azalina, keraguan rakyat dalam beberapa isu termasuk proses vaksinasi yang dilihat ramai agak perlahan ketika ini mesti dikendalikan dengan perdebatan awam pada sidang Parlimen.

“Keyakinan awam yang dibina dalam ‘tempoh peperangan’ akan membuat rakyat berasa selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan media dalam bahasa Inggeris itu menggunakan tajuk Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut meluahkan kekecewaan susulan tiada tindakan daripada pihak kerajaan berkaitan persoalan mengenai Parlimen yang dibangkitkannya beberapa bulan lalu.

Katanya, penularan virus ini akan direkodkan dalam tempoh mendatang dan darurat tidak boleh terus kekal.

“Apakah kita satu-satunya negara yang menyekat sidang Parlimen dalam tempoh krisis (COVID-19)?,” tegasnya.

Azalina Othman terus gesa Parlimen yang kini digantung apabila darurat diisytiharkan. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Parlimen boleh bersidang semasa darurat – Agong

Sains dan data pun disanggah, molek AG pula jelaskan

Bukan rampasan kuasa, PM janji PRU-15 selepas COVID-19 pulih

Dalam kenyataan itu, Azalina berkata, dengan kes yang terus mencatatkan rekod, Malaysia perlu bergerak dalam konteks perisytiharan darurat dengan membenarkan Palimen kembali bersidang.

Dengan rendah diri, beliau memberikan cadangan SOP yang diharapkan dipersetujui ahli-ahli Parlimen yang lain.

“Minimumkan risiko COVID-19: Memastikan semua petugas Parlimen divaksinasi termasuk kesemua ahli parlimen dan senator. Kategorikan petugas parlimen sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka menjaga sistem demokrasi negara.

“Minimumkan ‘drama’ tidak munasabah di Parlimen: Isytiharkan Ordinan untuk Parlimen bersidang semula tanpa perlu benarkan usul percaya dibawa sehingga sekurang-kurangnya pandemik dikawal dan imuniti kelompok mencapai 50 peratus.

“Tiada pilihan raya boleh diadakan tetapi kerajaan interim kecemasan dengan Kabinet kecemasan ditubuhkan dengan wakil dari semua parti.

“Memudahkan kecekapan proses parlimen: Labur di dalam menyediakan Parlimen Maya dan sistem ucapan teks. Ini tidak mahal, malah aplikasi Zoom memberikan sistem undian untuk memudahkan proses pengundian,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, SOP lain termasuk menguatkuasakan syarat kuorum untuk prosiding parlimen.

Katanya Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar untuk memastikan penjarakan fizikal dan tidak perlu bimbang dengan ketertiban dan prosedur perlembangaan Parlimen kerana negara kini berada dalam keadaan darurat.

“Mempromosikan Semak dan Imbang: Gunakan Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai alat alternatif untuk menubuhkan proses siasatan telus dan promosikan akauntabiliti eksekutif. Jadikan proses dapat diakses oleh orang awam secara pantas supaya orang awam boleh menyertainya.

“Pastikan peruntukan dana kawasan yang adil: Memperuntukkan ‘Dana COVID Kawasan Pilihan Raya’ sebagai bipartisan dan alat untuk ‘reset, restart dan realign’ perbezaan politik parti-parti terhadap sasaran yang sama iaitu Pandemik COVID-19. Tolong pertimbangankan juga membenarkan semua ahli parlimen keistimewaan perjalana khas untuk melawat kawasan (untuk tujuan kerja sahaja).

“Untuk merapatkan jurang ideologi politik yang terus berkembang: Membenarkan Ahli Parlimen untuk ‘cross the floor’, bekerjasama dan membenarkan mereka menyuarakan kebimbangan, lengkapkan mereka dengan maklumat diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan dan mempertahankan strategi kerajaan,” ujarnya.

Terakhir, Azalina berkata, merapatkan defisit kepercayaan antara rakyat dan pentadbir dengan menggunakan khidmat Ahli Parlimen sebagai ejen komunikasi antara maklumat kesihatan awam.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram