mustapa
MUSTAPA MOHAMED

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Sri Mustapa Mohamed mengingatkan orang ramai bahawa pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang direka-reka dan tidak boleh dipandang ringan.

“Janganlah kita mendengar cerita-cerita negatif dan palsu mengenai pandemik ini, kita sama-sama jaga kita,” katanya ketika berkongsi pengalaman berada selama 12 hari di hospital yang tidak dapat dilupakan di Radio Kelantan FM hari ini.

Mustapa dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab (HRZ) II, Kota Bharu Kelantan, selepas dijangkiti Covid-19 awal Januari lalu.

Beliau berkata, apa yang dilaluinya sudah cukup menjadi pengajaran dan iktibar kepada orang ramai bahawa penyakit ini tidak mengenal sesiapa dan boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja.

Mustapa berkata, sepanjang berada di wad, pelbagai pengalaman yang dilaluinya antara yang paling ‘menakutkannya’ adalah ketika ditahan di wad Unit Kawalan Rapi (ICU) selama tiga hari.

BERITA BERKAITAN Tok Pa disahkan positif COVID-19

“Apabila saya mendapat pengesahan bahawa saya positif Covid-19 saya segera dimasukan ke wad hospital, berada dalam 4-5 hari di wad biasa kemudian memasuki hari ke tujuh darah saya ‘tak comel’ doktor kata saya kena masuk ICU.

“Untuk makluman di ICU tiada tandas, tidak boleh keluar kena pakai pampers, tak boleh bergerak dan kita akan dipantau rapi oleh jururawat dan doktor, Alhamdullillah selepas tiga hari itu saya diminta ke wad biasa semula,” katanya.

“Sama-samalah kita mencegahnya, patuhi segala saranan yang telah dikeluarkan,” tegasnya.

Katanya lagi, ujian Covid-19 ini juga menyeru kepada manusia supaya insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua.

“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta rakyat Malaysia agar berdiri teguh di belakang kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan.

“Kalau ada gejala segera dapatkan rawatan pergi jumpa doktor dan kita kena selalu patuh SOP,”katanya.

Justeru beliau menyarankan orang ramai untuk segera mendapatkan suntikan vaksin kerana itu sahaja senjata yang berkesan setakat ini.

Pada 10 Januari 2021, pejabat Mustapa menerusi satu kenyataan mengesahkan pemimpin itu positif Covid-19.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram