Cerita di bawah ini berlaku secara kebetulan, atau ada perkara aneh di sebaliknya? Atau ada `sesuatu’ pada pedang tersebut, sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar?  Cerita itu bermula begini…

Hari itu, sejurus bangun daripada tidur, tiba-tiba saja lengan kanan Abd. Rahman Ismail berasa sakit. Dia mengambil minyak urat lalu menggosoknya perlahan-lahan daripada bahu hingga ke siku. Bisanya seperti berkumpul pada sendi bahu dan seluruh urat saraf hingga dia tidak mampu mengangkat tangannya itu.

Oleh kerana terlampau sakit, hari itu Abd. Rahman tidak dapat menunaikan tugasnya untuk menggali kubur di Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat, Parit Buntar.  

Petang, dia ke rumah Pak Akob.

“Angin ni…” kata Pak Akob, tukang urut di Taman Semarak, Parit Buntar. Sambil berbual, tangannya memicit dan menekan-nekan lengan Abd. Rahman.

Pun demikian sakaitnya tidak juga surut. Abd. Rahman masih tidak mampu mengangkat lengannya.

Empat hari kemudian Abd. Rahman diminta menggali sebuah lagi kubur. Sekali lagi Abd. Rahman terpaksa menolak, lengan kanannya masih sakit walaupun selepas memakan ubat yang diberikan oleh doktor. Bisanya daripada bahu hingga ke siku, sedikit pun tidak berkurang.

“Pulangkan pedang tu, Man. Mak rasa, sebab kau ambil pedang tu lah, tangan kau jadi macam ni,” kata ibu mentuanya, Tom Awang, 70.

“Urat tersimpul agaknya, mak,” jawab Abd. Rahman yang sedang melumur minyak urat di sekitar bahu hingga ke siku tangan kanannya.

Sebenarnya sudah banyak kali Tom meminta Abd. Rahman memulangkan pedang yang dijumpainya di kubur, tapi Abd. Rahman enggan. Bagi Abd. Rahman, untuk apa dipulangkan, dia bukan mencuri. 

Pedang itu dijumpainya semasa bersama Saari Saad menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Belakang Petronas, Parit Buntar pada suatu pagi di penghujung 1999. Ia ditemui tertanam 0.75 meter di dalam tanah dan dipenuhi karat. Mungkin sudah berpuluh-puluh tahun terbenam di situ.

Gambar hiasan

Selepas urusan pengebumian selesai, Abd. Rahman membawanya balik, seterusnya diketuk hingga gerutu karatnya tanggal, lalu ternampaklah bentuknya yang sebenar.

Ia sebilah pedang yang hujung matanya tajam melengkung manakala hulunya hanya tinggal puting. Mungkin pedang zaman silam, mungkin juga pedang tentera Jepun.

Abd. Rahman selitkan pedang itu di celah bumbung depan bilik air rumahnya. Dia bercadang untuk membersihkan pedang tersebut hingga matanya tajam berkilat. Putingnya juga akan dipasang hulu supaya boleh digunakan, sekurang-kurangnya sebagai barang hiasan. 

Tapi, takkan kerana pedang itu lengannya sakit, fikir Abd. Rahman.

Gambar hiasan

Dia tidak mahu percaya pada karut-marut, apatah lagi meyakini kuasa syaitan yang mendatangkan bencana ke atas dirinya.

“Pulangkan, Man. Kita ni mencuba aja, bukanlah kata pedang tu ada kuasa, tak…” ibu mentuanya terus mendesak.

“Tak apalah mak, saya cuba urut dulu,” dalih Abd. Rahman.

Tom menggeleng kepala. Setiap hari dia mendesak tapi tidak pernah diendahkan, hinggalah pada hari ketujuh ketika Abd. Rahman bersiap-siap hendak bersembahyang Asar di surau.

Apabila ibu mentuanya itu sekali lagi meminta dipulangkan pedang tersebut ke tempat asalnya, Abd. Rahman mula terfikir, “Mengapa tidak aku mencuba?”

Abd. Rahman berjalan ke bilik air lalu mencapai pedang itu dengan tangan kirinya. Dia kemudian menunggang motosikal membawa pedang tersebut ke tanah perkuburan. Tanpa disaksikan sesiapa, Abd. Rahman bertinggung di sisi kubur tempat dia menjumpai pedang berkenaan.

Di dalam hati dia berkata; “Ya Allah, kalau dengan cara ini saja tanganku akan sembuh, Kau sembuhkanlah ia. Aku kembalikan pedang ini di tempat asalnya dan Engkau sembuhkanlah sakit di lengan kananku ini. Hanya Engkau yang Maha Berkuasa, tempat aku berserah.”

Pedang itu Abd. Rahman tikam menyerong ke dalam tanah di tengah kubur, kemudian dikambus dengan ketulan tanah sehingga tidak kelihatan lagi.

Gambar hiasan

Dan belum sempat dia berdiri, tiba-tiba…

PRRRRAAAPPP!!!! kedengaran bunyi aneh dari dalam lengan kanannya yang sakit. Serentak itu tidak semena-mena segala sakit dan bisa yang berkumpul dalam urat serta sendi lengannya, hilang begitu saja.

Abd. Rahman tersentak. Dia memicit-micit lengan kanannya, tiada lagi rasa sakit. Malah tangannya itu boleh diangkat tanpa sebarang masalah. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang belaku.

Lalu Abd. Rahman angkat tangan kanannya tinggi-tinggi, pusingkan beberapa kali. Sah, sudah pulih seperti sedia kala. Dia juga boleh mengangkat cangkul dan menggali kubur semula.

Benarkah ada `sesuatu’ pada pedang tersebut, atau semua ini berlaku secara kebetulan? Dan… siapakah pemilik asal pedang itu?