Percayakah anda kalau saya katakan bukan masyarakat Melayu saja percaya kepada orang bunian dan makhluk halimunan, malah orang Barat juga begitu?

Anda jangan terkejut, kepercayaan dan kejadian seumpama ini juga berlaku di kalangan masyarakat Barat. Salah satunya ialah Loreley, gadis halimunan yang terkenal di daerah Kaub dan St.  Goarshausen, Jerman.

Dikatakan Loreley sering muncul di atas sebuah bukit setinggi 194 meter di daerah tersebut yang letaknya di tebing Sungai Rhine. Setiap kali muncul, Loreley dilihat menyisir rambutnya dengan sikat emas sambil menyanyi dengan suara yang sayu. Tetapi setiap kali Loreley menjelma, setiap kali itulah tragedi berlaku.

Mitos Loreley yang terkenal di Jerman.

Ini kerana, kemunculan Loreley akan mengakibatkan kapten serta anak-anak kapal yang berlayar di Sungai Rhine terpukau dan menjadi leka. Tanpa disedari, kapal mereka hilang kawalan dan seterusnya melanggar tebing yang dipenuhi batu, lalu karam. Sejurus kapal itu tenggelam, Loreley pun lenyap.

Oleh kerana itu, kerajaan Jerman memasang loceng bagi memastikan kapal yang melalui kawasan berkenaan sentiasa berhati-hati dan tidak mempedulikan kemunculan Loreley. Kisah ini saya peroleh semasa berkunjung ke sana pada tahun 2003. Sebuah patung Loreley turut dibina di atas sebuah pulau di tengah Sungai Rhine sebagai mercu tanda daerah tersebut.

Patung Loreley yang dibina sebagai mercu tanda daerah tersebut.

Siapa Loreley?

Kononnya dahulu Loreley gadis cantik yang digilai lelaki. Dia mempunyai kekasih dan mereka sering berjumpa di puncak bukit tersebut sambil memerhatikan keindahan Sungai Rhine.

Suatu hari, kekasihya diperintahkan raja agar mengikut angkatan perang untuk suatu tempoh yang lama. Maka tinggallah Loreley keseorangan. Bagi menghilangkan rindu, setiap hari Loreley duduk di puncak bukit itu.

Dia menanti kepulangan kekasihnya sambil menyanyi dan menyisir rambutnya yang berkilau bagaikan emas. Dalam tempoh itu dia terus digoda dan difitnah dengan pelbagai tuduhan.

Suatu hari, kapal yang membawa kekasih Loreley pulang. Mereka saling berpandangan tetapi tanpa disedari, kapten kapal yang membawa kekasihnya telah terlalai lantas melanggar tebing sungai. Kapal yang membawa kekasihnya karam, Loreley meraung dan tanpa sedar, dia terjatuh dari tebing bukit dan mati lemas. Mayat Loreley tidak dijumpai, tetapi sejak itu dia sering muncul di puncak bukit tersebut sebagai makhluk halimunan.

Di kalangan masyarakat Jerman, Loreley digolongkan juga sebagai ‘nixie’, iaitu makhluk ghaib seperti bunian. Nixie perempuan mempunyai raut wajah dan bentuk tubuh yang sangat menawan. Ia sering dilihat duduk di tebing-tebing sungai sambil menyisir rambutnya yang panjang mengurai.

Nixie, salah satu mitos masyarakat Jerman.

Nahaslah jika ada lelaki yang cuba mendekatinya. Nixie tersebut akan menggoda dan kemudian membawa mereka ke dalam sungai tadi. Kalau ini berlaku, lelaki tersebut akan lenyap ke alam ghaib dan tidak akan ditemui sampai bila-bila.

Masyarakat Eropah dan Scandinavia turut percaya kepada kewujudan elf, atau disebut sebagai alfar. Rakyat Denmark memanggilnya elver, masyarakat Norway menggelarnya alv manakala Sweden, alva.

Elf adalah makhluk halimunan yang bentuk tubuh dan rupanya sama seperti manusia biasa. Seperti orang bunian, elf tinggal di hutan, belukar, gua, bawah tanah, telaga dan kawasan air panas. Digambarkan elf ini boleh hidup selama beratus-ratus tahun dan mempunyai kuasa sakti.

Di dalam kepercayaan masyarakat Denmark pula, gadis-gadis elf sering menggoda lelaki hingga mereka menjadi angau dan kemudian mengajak mereka menari sehingga mati. Di kalangan masyarakat Noway, alv dikatakan tinggal di bukit-bukau serta batu-batu besar.

Sementara itu, masyarakat Sweden pula menggambarkan alvor sebagai gadis-gadis jelita yang tinggal di hutan bersama sang raja. Mereka mempunyai rambut dan kulit yang putih melepak tetapi akan bertindak ganas jika diganggu.

Masyarakat Scandinavia percaya, makhluk halimunan ini sering muncul dan menari di kawasan-kawasan lapang, terutama sekali pada waktu malam dan pagi yang berkabus. Jika sesiapa melihat gadis-gadis elf ini menari, mereka akan menjadi khayal dan asyik, lalu hanyut ke dalam dunia ghaib tersebut.

Mereka berasa hanya menonton tarian itu beberapa jam sahaja, sedangkan hakikatnya masa yang berlalu adalah berbulan atau bertahun-tahun di alam kita. Begitulah perbezaan masa di antara dua alam ini. Dikatakan pernah terjadi seorang lelaki telah mati akibat menolak pelawaan puteri elf untuk menari bersamanya.

Kehadiran gadis-gadis elf itu boleh diketahui melalui kesan bulatan tempat mereka menari tadi. Di situ rumputnya rebah akibat diinjak-injak. Kalau ada sesiapa yang membuang air kecil atau memusnahkan apa sahaja yang terdapat di dalam tempat tarian elf tadi, mereka akan ditimpa bencana.

Selain itu, elf dikatakan mampu masuk ke dalam mimpi seseorang dengan membawa mimpi-mimpi menakutkan. Bukan itu saja, malah elf juga akan duduk di atas dada mangsa tadi menyebabkan mereka berasa sesak nafas dan tidak dapat menggerakkan badan.

Itu saja? Oh, tidak! Sebenarnya banyak lagi kepercayaan seumpama ini di kalangan masyarakat di seluruh dunia, baik India, Cina, Afrika mahupun Amerika Latin. Apa yang dicatatkan tadi hanya secebis sahaja.

___________

Baca juga kisah ini : DUYUNG : Benarkah makhluk separuh manusia dan separuh ikan ini wujud?

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.