Kerajaan mengumumkan pelaksanaan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial bermula Selasa dengan perkhidmatan perlu akan dibenarkan manakala SOP lain bakal diumum dalam masa terdekat: GAMBAR Abd Razak Aid

PAKATAN Harapan (PH) menyokong penuh keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown mulai 1 Jun ini.

Sokongan itu diberikan dengan menyertakan tujuh syarat untuk dilaksanakan kerajaan sepanjang penutupan fasa pertama sektor ekonomi dan sosial selama 14 hari yang diumumkan semalam.

“Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH mengambil pendirian yang konstruktif dengan menyokong keputusan Kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari dari 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021.

“Persetujuan ini kami capai dengan syarat-syarat berikut yang perlu dipenuhi oleh pihak Kerajaan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh tujuh anggota itu.

Syarat itu kata jawatankuasa tersebut adalah memberi bantuan one off kepada golongan B40 dan M40; melaksanakan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan; dan melaksanakan rebat TNB.

Baca artikel berkaitan: Total lockdown selama 14 harı mulai 1 Jun, pakej bantuan menyusul

“Syarat lain, kerajaan perlu memastikan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi; memastikan harga barangan keperluan tidak naik; memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang.

“Ketujuh, kerajaan memastikan bantuan berupa bakul makanan mesti sampai kepada rakyat yang memerlukan,” kata kenyataan itu.

Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH adalah Hassan Abdul Karim (PKR), Datuk Hj Hassanuddin Mohd Yunus (AMANAH), Chong Chieng Jen (DAP), Natrah Ismail (PKR), Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP), Chan Foong Hin (DAP) dan Cha Kee Chin (DAP).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram