malang umat akhir zaman

“Kan bagus kalau dapat hidup sezaman dengan Baginda s.a.w. Mesti aku dapat menjadi salah seorang dari sahabat Baginda. Dan sudah pastinya aku termasuk dalam kalangan ahli Syurga”

Mungkin pernah terlintas dalam hati anda untuk hidup sezaman dengan Baginda s.a.w. semata-mata untuk meraih kehebatan dan kelebihan yang ada.

Namun tahukah anda, tanpa perlu hidup sezaman dengan Baginda s.a.w. kita juga sememangnya telah dilahirkan untuk menjadi umat yang paling baik sekali, berbanding dengan umat-umat yang pernah ada satu ketika dahulu.

Kita telah dikurniakan dengan keistimewaan yang tiada taranya oleh Allah S.W.T. Antara kelebihan yang ada pada kita tetapi tidak umat lain ialah:

  • Allah tidak menghukum dosa-dosa yang kita lakukan kerana terlupa, tersalah, terpaksa atau kerana bisikan nafsu dalam hati. Bersabda Baginda s.a.w.

“Sesungguhnya Allah S.W.T. mengampunkan bagi umatku dosa yang dibisikkan oleh nafsunya, selagi dia tidak mengucapkannya atau melaksanakannya.” HR Bukhari & Muslim

Manakala dalam riwayat hadis yang lain juga Nabi s.a.w. bersabda, “Allah mengampunkan bagi umatku tersalah, terlupa dan dosa yang dipaksakan ke atasnya.” HR Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim & Ibnu Majah

  • Kita menjadi umat yang pertama dibangkitkan dari kubur. Daripada Ibnu Abbas r.a. bersabda Baginda s.a.w.

“Saya adalah orang pertama yang akan dibangkitkan daripada kubur berbanding dengan mereka, dan umatku sendiri, dan bukan merupakan satu kebanggaan”

  • Wajah dan kaki akan bercahaya kesan daripada berwuduk. Sabda Baginda s.a.w.

“Sesungguhnya umatku, mereka akan dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan wajah dan kakinya bercahaya kesan daripada wuduk. Sesiapa yang dapat meluaskan basuhannya, maka hendaklah ia lakukan”  HR Bukhari

kesan sujud menjadi bukti mendekati Tuhan
  • Kesan sujud menjadi bukti atau tanda bagi umat Muhammad mendekati Tuhan. Firman Allah dalam surah al-Fath: 29

Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh, terdapat muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang Ikhlas )

  • Dikhaskan bagi kita solat lima waktu di mana ia adalah gabungan daripada solat nabi-nabi terdahulu.
  • Solat Jumaat. Bersabda Baginda s.a.w.

“Kami adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan pertama pada hari kiamat meskipun telah diberikan al-Kitab kepada orang-orang sebelum kita. Kemudian hari ini merupakan hari di mana Allah s.w.t. mewajibkan solat Jumaat ke atas mereka hingga timbul perbezaan antara mereka, kemudian Allah memberikan hidayah kepada nabi dan orang ramai mengikutinya. Manakala bagi orang Yahudi adalah esok harinya (Sabtu) dan bagi orang Nasrani adalah lusa (Ahad)” HR Bukhari

  • Makan Sahur. Dari Umar Ibn. Al-Ash r.a. berkata Baginda s.a.w.

“Yang membezakan antara puasa kita dengan puasa ahli Kitab adalah makan sahur.”

  • Malam al-Qadr. Imam Nawawi menyebutkan dalam Syarah al-Muhazzab. Al-Dailami meriwayatkan dari Anas r.a. berupa hadis marfu’ bahawa Baginda s.a.w. bersabda.

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Laila al-Qadr, di mana Allah tidak berikannya kepada umat sebelum umat ini”. 

  • Allah S.W.T. menghalalkan banyak perkara yang dahulunya diharamkan ke atas umat yang sebelumnya. Dan Allah juga tidak menjadikan suatu bebanan dalam agama ini. Firman Allah dalam surah al-Haj:78,

Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” 

  • Hamparan bumi sebagai masjid dan tanahnya suci untuk bertayamum. Bersabda Baginda s.a.w.

“Kami diberikan keutamaan dengan tiga perkara: Saf seperti saf malaikat, bumi ini dijadikan bagi kita sebagai masjid dan tanahnya dijadikan suci jika kita tidak menjumpai air.” HR Muslim

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram