SIAPA sangka penyeludup dadah sekarang semakin kreatif sehingga sanggup mengubahsuai alat pemadam api untuk dijadikan sebagai alat menyeludup dadah pelbagai jenis ke negara jiran yang dibawa menggunakan lori ais.
Bagaimanapun taktik baharu tersebut berjaya dikesan hasil perkongsian maklumat antara pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Johor dengan Central Narcotics Bureau of Singapore (CNB).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya ditumpaskan setelah polis melancarkan operasi khas dengan melakukan sembilan serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor
“Dalam serbuan tersebut, sembilan suspek telah ditangkap bersama rampasan dadah yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan serta seorang lelaki warganegara Indonesia yang kesemua berumur dari 26 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyatan akhbar.
BERITA BERKAITAN Tak kira siapa, tak nak ikut peraturan, saya arah tutup kilang – Ayob Khan
Katanya, hasil saringan urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala hasil semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspektelah direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira tiga bulan dengan modus operandi menyeludup dadah ke negara jiran melalui alat pemadam api yang diubahsuai menggunakan lori ais.
“Turut dirampas 7.12 kilogram ganja, 4.52 kilogram syabu dan 3.11 kilogram heroin yang kesemuanya bernilai RM215,283.20.
“Polis juga turut menyita lapan kereta bernilai RM172,000, wang tunai RM1,200 dan pelbagai barang kemas bernilai RM11,693,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram