Urusan kaunter di semua pejabat JPN di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ditangguhkan bermula esok.

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN)  menangguhkan urusan kaunter di semua pejabat JPN di seluruh negara termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula esok.

Menerusi satu kenyataan JPN memberitahu, pelanggan yang mempunyai janji temu dalam tempoh sekatan itu akan dihubungi JPN bagi penjadualan semula tarikh tersebut.

“Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN untuk memohon dokumen-dokumen yang diperlukan,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, JPN berkata, urusniaga di kaunter pejabat JPN dikecualikan bagi urusan kes-kes kecemasan seperti berikut:

1.1 gantian MyKad rosak/hilang (disertakan laporan polis) bagi kes kecemasan seperti urusan bank dan rawatan perubatan sahaja.

1.2 sijil kematian untuk prosedur penghantaran pulang jenazah warga asing yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal.

1.3 sijil kelahiran (pendaftaran baru/cabutan) bagi tujuan rawatan perubatan; dan

1.4 sijil kelahiran (pendaftaran baru/cabutan) anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia bagi tujuan prosedur membawa pulang kanak-kanak tersebut ke negara asal.

Selain itu, kenyataan terbabit menambah, urusan bagi upacara perkahwinan di pejabat JPN dan rumah ibadat turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh sekatan kecuali kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera, seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan.

Sebarang pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau e-mel pertanyaan ke [email protected]