PENGACARA Fara Hanim Razak membuat permohonan maaf kepada dua jirannya iaitu pelakon Rita Rudaini dan Lufya Omar berhubung kenyataanya yang melabelkan mereka sebagai anti-vaksin.

Menerusi hantaran di Instagram, Fara mengakui kesal dengan tindakannya itu dan mengakui kelemahan diri.

“Selepas bermuhasabah dan merenung segal kekurangan dan kelemahan diri, Anim (nama panggilan) menerima dengan terbuka teguran-teguran ramai berkenaan isu membabitkan Anim sebelum ini.

“Atas pesan Nabi kita, Insya-Allah Anim menginsafi kelemahan dan akan baiki diri Anim untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik,” tulisnya.

Tambah Anim lagi, dia juga sudah menghubungi kedua-dua selebriti berkenaan untuk memohon maaf.

“Anim baharu saha menghubungi pihak terbabit untuk memohon maaf dan di sini juga Anim ingin memohon maaf secara terbuka.

“Hasrat Anim hanya satu iaitu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati menentang ancaman virus Covid-19. Sesungguhnya kita belum menang tapi kita boleh menang bila hati bersatu bersama berjuang dengan penuh sabar,” katanya.

Dalam pada itu Anim turut memuat naik tangkap layar mesej permohonan maaf yang dihantarkan kepapda Rita dan Lufya.

Terdahulu, ciapan Anim di Twitter yang menceritakan perihal jirannya yang didakwa anti-vaksin telah tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh antivaksin, Rita Rudaini panas hati dengan Farahanim

Walaupun Anim hanya menggunakan nama pangkal RR dan LL dalam ciapan tersebut, namun warganet bijak bermain teka-teki dan membuat andaian siapa yang dimaksdukan.

Ciapan tersebut telah mendapat perhatian Rita yang sekaligus berang dan terkilan dengan Anim yang menuduh dirinya anti-vaksin tampil usuk periksa.

Malah, Rita turut menyelar sikap Anim yang bermuka-muka dan suka bercakap belakang meskipun mereka hidup berjiran.