Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Petugas Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengangkat jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMATIAN akibat COVID-19 kekal tinggi dengan 71 lagi korban dilaporkan hari ini melibatkan semua negeri kecuali Perlis dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tertinggi dilaporkan di Selangor dengan 28 kes.

Beliau berkata, ini diikuti lapan kes di Johor, tujuh kes di Sarawak, enam kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lima kes di Kelantan, empat kes di Melaka dan tiga kes di Kedah.

Turut dilaporkan katanya, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Terengganu, dan Perak,serta masing-masing satu kes di Sabah, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Pinang.

“Pertambahan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 2,729 kes.

“Daripada 71 kematian yang dilaporkan hari ini, 70 melibatkan warganegara dan seorang bukan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kematian hari ini melibatkan invidu termuda berusia 27 tahun (latar belakang penyakit asma) manakala paling berusia berumur 91 tahun.

Sementara itu, selain kes kematian yang kekal tinggi, satu lagi aspek membimbangkan ialah peningkatan jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jika kelmarin 846 dirawat di ICU, hari ini jumlahnya meningkat lagi kepada 872 kes.

Baca artikel berkaitan: 7,105 kes baharu, dua hari turun, hari ini naik balik

Lindungi penjagaan kesihatan daripada lumpuh, rayu Noor Hisham kepada rakyat

Kata Noor Hisham, jumlah yan memerlukan alat bantuan pernafasan pula berjumlah 419 kes.

“Kes sembuh yang dilaporkan hari ini berjumlah 6,083 hari ini.

“Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kes aktif kini sebanyak 80,474,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, 27 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ini menjadikan kluster aktif kini berjumlah 668.

Daripada 27 kluster baharu, 13 adalah kluster tempat kerja disusuli sembilan komuniti, tiga kegamaan, dua pendidikan dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Negeri yang melaporkan kluster baharu ialah Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Perak, Johor, Perak, Sarawak, Terengganu dan Pulau Pinang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram