Demi Tuhan, hari itu bagai baru saja berlalu. Pertemuan pada pukul 12.30 tengah hari, pertengahan Mac lalu, adalah hari yang sangat indah. Ya indah, kerana hari itu bekas Pengarang Mastika, Zainol Fakir mengajak saya makan tengah hari bersama Penolong Pengarang Mastika, Sahidan Jaafar dan seorang lagi bekas Pengarang, Munir Ghazali. Tempatnya di sebuah restoran di Subang Jaya.

Pertemuan itu sangat nostalgik. Berada bersama tiga orang sahabat ini, hati menjadi gembira bercampur hiba. Ia membangkitkan kenangan-kenangan lama semasa kami berganding bahu bersama kakitangan lain menyambung semula nyawa Mastika, daripada keadaan nazak pada penghujung 1995, kepada majalah  yang tertua dan tertinggi edarannya di negara ini, dengan jualan melebihi 300,000 naskhah sebulan sekitar tahun 2000. Ia suatu kenangan yang sangat indah sepanjang karier kami sebagai wartawan.

Mastika lahir pada 1 Jun 1941, dipimpin oleh tokoh wartawan Melayu, Allahyarham Abdul Rahim Kajai.

Artikel berkaitan : Suatu Petang 80 Tahun Lalu https://utusantv.com/2020/12/31/suatu-petang-80-tahun-lalu/

Sambil makan, kami melahirkan rasa syukur kerana usaha itu dipermudahkan Ilahi. 

“Apa-apa pun, kita kena beri bos minum dulu,” kata Munir sambil menuangkan teh cina ke dalam cawan Zainol dan menghulurkan kepadanya.

Hahaha, kami ketawa. Zainol kami hormati seperti seorang bapa manakala Munir sebagai abang. Saya dan Sahidan sayangkan mereka. Kami pula adik-adik mereka yang hanya tahu makan free saja.

Sambil makan pelbagai lauk pauk yang lazat, kami tak henti ketawa apabila Munir membuat macam-macam lawak terutama tentang kenangan-kenangan lama. Munir juga menceritakan kepada kami keadaan kenalan-kenalan lain, terutama bekas Pereka Grafik, Sukardi Abd. Jalil yang kini terlantar akibat strok.

“Tu lah bos… kita kena selalu buat medical chek-up. Kena makan ubat. Tapi kalau keputusan check-up tu beritau kita sihat, tak ada penyakit, jangan seronok sangat. Nanti jadi macam orang kat Ampang pulak,” kata Munir.

Pertemuan terakhir dengan Munir Ghazali. Gambar-gambar ini menjadi kenangan yang tidak ternilai harganya.
Munir dengar saja Zainol tazkirahkan Sahidan.

“Orang kat Ampang? Kenapa pulak, Zainol bertanya.

“Bila doktor beritau dia tak ada kencing manis, tak ada darah tinggi, kolesterol rendah, dia pun seronok. Keluar dari klinik, dia start motor, terus jalan. “YAAA…”!! Tapi belum sempat habis cakap “YAAHHOOO”… DAAAMM! kena langgar lori. Terus mati kat situ jugak!” kata Munir sambil buat muka sedih.

Kahkahkah! Kami ketawa . Kami tau, itu cerita bohong. 

Ibarat seorang bapa, Zainol pula menasihatkan kami kami menjaga amal ibadah, kesihatan, keluarga dan komitmen kepada kerja. Wartawan ini mulia, kata Zainol. Setiap ilmu dan kebaikan yang disampaikan, ganjarannya pahala.

“Kita jangan dengki kat orang, jangan sekat rezeki orang, nanti Tuhan sekat rezeki kita. Nak buat apa pun, niat kena betul kerana Allah. Ingat tu, Zul, Sahidan,” sambung Zainol lalu menyelang selikan nasihatnya itu dengan kisah para sahabat dan aulia.

Demikianlah Zainol, sangat garang semasa menjadi bos, tetapi sangat baik selepas bersara. Begitulah juga Munir, sentiasa ceria dan lucu, membuatkan suasana jadi meriah.

KLIK! KLIK! KLIK!

Sahidan mengambil gambar. Pertemuan ini perlu dirakam, dan saya sangat terasa nostalgianya. Dulu semasa dipindahkan dari akhbar Utusan Malaysia ke Mastika pada 1996, usia saya baru 27 tahun. Tapi sekarang sudah 45 (2014). Sahidan sudah berumur 51 tahun, Zainol Fakir 70, manakala Munir, 63. Kami bukan muda lagi.

Dalam usia sebegini, penyakit datang satu persatu. Penglihatan sudah kabur. Entah panjang mana lagi usia, kami tidak tahu. Justeru, pertemuan ini menyingkap kembali keindahan lalu yang tidak mungkin dapat diulangi kembali, dan ia perlu dirakam. Aduhai Tuhan, terlalu pantas benar masa berlalu.

Berkongsi cerita dan berkongsi ketawa buat kali terakhir bersama Munir.

Seperti biasa, sebelum pulang, saya berbual lama dengan Munir di tempat letak kereta. Macam-macam perkara kami sembangkan, seolah-olah tidak mahu berpisah. Tidak lupa, kami imbas kembali insiden-insiden yang sebenarnya tidak diketahui pun oleh Zainol, terutama kisah di bawah ini, yang sering saja dibangkitkan kembali oleh Munir setiap kali kami berjumpa.

Kisahnya begini…

Pukul 10.00 pagi,  20 Oktober 1998, saya, Munir dan Zainol pergi ke Pulau Besar, Melaka untuk menemubual mangsa bot karam di Pulau Besar. Sampai di tengah bandar Melaka, Zainol sambil memandu bertanya kepada saya, “Zul… mana jalan ke Pulau Besar?”

Saya terkedu, terpinga-pinga memandang keliling. Alamak… “Sorry Cik Zainol, saya tak taulah,” jawab saya yang duduk di kerusi belakang.

“Ai… tak tau?” Zainol terkejut, kemudian terus berkata, “Hang ni tak lulus Geografi ke masa SPM?”

Mendengar kata-kata Zainol itu, kahkahkah… Munir yang duduk di sebelahnya terus memandang saya dan ketawa berdekah-dekah. Cis! Saya bengang betul. 

Tak apa… sampai di Pulau Besar, saya pula mengenakan Munir. Caranya, sewaktu Zainol sedang menemubual seorang mangsa, perlahan-lahan saya meninggalkannya dan bersembunyi di belakang pokok-pokok bunga yang merimbun.

Dari belakang pokok itu saya menghendap. Saya dapat lihat Zainol berpusing ke sana ke mari mencari saya. Mukanya serius dan marah. Kemudian, beliau memanggil Munir yang sedang menemubual seorang mangsa lain.

Bagai lipas kudung Munir datang. Mereka kemudian memandang ke sana dan ke mari mencari saya. Saya terus menyorok, dan dari celah pokok itu saya menahan ketawa apabila melihat Munir terkocoh-kacah terpaksa mengambil nota temubual yang dilakukan oleh Zainol. Hihihi… pemandangan Munir kelam-kabut menulis itu lucu betul saya tengok, sebab Munir apabila menulis, bibirnya akan dimuncungkan sekali.

Balik dari Melaka (dan sebenarnya setiap kali kami bercerita kisah-kisah lampau), Munir ketawakan saya kerana `tidak lulus’ Geografi, manakala saya pula mentertawakannya kerana kelam-kabut terpaksa mengambil nota temubual bos kami. Kisah ini kami simpan dari pengetahuan Zainol, sampailah sekarang!

Kalau Munir suka mengusik saya dengan kisah di atas, saya pula suka mengusiknya dengan kisah ini. Entah apa sebabnya, suatu hari, Zainol naik angin. Beliau tiba-tiba memanggil saya dan berkata, “Zul, mai kita peruntuh Mastika!”

Saya yang duduk di sebelahnya, pantas menjawab, “Okey bos! Tak ada masalah!”

Zainol panggil pula Munir yang duduk di seberang kubikal. “Munir, mai sat!” kata Zainol sambil menguit-uitkan hujung jarinya. Munir segera datang, dan apabila sampai, Zainol pun berkata, “Munir, mai kita peruntuh Mastika!”

Munir terpinga-pinga. “Isy… tak boleh bos. Kita ma…”

Belum habis Munir bercakap, Zainol terus membedalnya. Kihkihkih… saya menahan ketawa yang amat sangat. Bayangkan, ketika itu Zainol duduk di kerusi, Munir pula berdiri di hadapannya. Hihihi… pemandangan Zainol marah sambil memandang ke arah perut Munir yang bulat itu terlampau lucu hingga saya tidak mampu menahan ketawa.

Selepas kena marah, Munir berjumpa saya dengan muka bengang. Saya cakap padanya, “Yang Abang Munir pergi lawan tu, buat apa. Cakap okey aja, sudah. Takkan tak tau, Cik Zainol tu marah sekejap aja, hati dia baik. Percayalah, takkan tergamaknya dia nak menjatuhkan Mastika. Saya pun tak tergamak, kita sama-sama naikkan Mastika, takkanlah kita nak jatuhkan pulak.”

Mendengar kata-kata saya itu, Munir menganggukkan kepala. Betul, selepas itu, seperti biasa Zainol berborak dan berkelakar, seterusnya membelanja makan roti canai dan kami ketawa bersama-sama, seolah-olah peristiwa tadi tidak pernah berlaku (Dan seperti yang saya cakapkan tadi, Zainol terus bekerja keras untuk menaikkan Mastika, kerana seperti kami, beliau amat sayangkan majalah ini. Marah hanya di mulut saja).

Kahkahkah! Saya ketawakan Munir, Munir ketawakan saya.

Saat kami bergambar dalam pertemuan itu, teringat saya kenangan  sewaktu mengembara bersama Munir dan beberapa orang sahabat lagi dari Jerman hingga ke Croatia, pada Mei 2005.

Suatu petang semasa di Hungary, Munir marah saya kerana suka sangat minta berhenti di tengah jalan. “Zul ni, asal nampak signboard aja, suruh berhenti nak bergambar. Ingat ni kat Malaysia ke?”

Aaahhh, saya tidak peduli. Saya turun juga. Lepas bergambar, saya masuk semula ke dalam van. Tapi eh, mana abang Munir? Rupa-rupanya, dia pun sama bergambar di signboard!

Ketika sampai di wilayah Serb, van sekali lagi berhenti. Waktu itu sudah pukul 9.00 malam. Tiba-tiba saya lihat Munir meluru keluar sambil mengajak seorang kawan kami. Eh, kenapa pula? Jangan Munir, ni tempat orang Serb! Tapi Munir pergi juga.

Lebih kurang lima minit kemudian Munir kembali. “Abang Munir pergi mana tadi?” saya bertanya.

Dengan bangganya Munir memberitahu, dia baru bergambar di signboard tertulis perkataan Republic of Srpska. Tapi bila Munir membuka skrin kamera digitalnya, kami terus ketawa terbahak-bahak.

Apa taknya, pantulan cahaya lampu jalan kepada signboard itu menyebabkan gambar menjadi gelap, tulisannya pula terang berkilau. Maka kesannya yang nampak hanyalah tangan Munir sedang menunjuk ke arah tulisan tersebut. Muka tak nampak, gelap gelita. Kahkahkah… kami ketawakan Munir sampai balik ke Malaysia.

Apabila Munir bersara pada 31 Disember 2004 dan saya menggantikannya sebagai Pengarang Mastika, saya begitu terasa kehilangannya. Dada saya mudah saja sebak apabila mengingatkan kelucuan, kerajinan dan kebaikan Munir yang gemar membantu kawan-kawan. 

Pun begitu, kami terus berhubung dan bertemu. Setiap kali hari raya, saya pasti akan berkunjung ke rumahnya di Desa Pandan. Munir pula akan ke rumah saya di Cheras.

Oleh kerana Munir Ketua Penerangan, Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM), beliau sering mengajak saya menghadiri program kelab dan majlis kenduri kahwin ahli-ahli KVUM. Setiap kali menghadirinya, isteri saya akan memberi amaran, “Pergi awal… nanti kalau dah jumpa Abang Munir, mesti tak ingat nak balik.”

Ya, begitulah saya apabila sudah bersama Munir. Kami akan berbual dan menceritakan kisah-kisah lama kepada kawan-kawan lain sambil ketawa hingga sakit perut. Indah sungguh saat itu, hingga yang pedih pun menjadi lucu.

Namun kita ini milik-Nya. Betapa pun kita sayangkan seseorang, dia bukan milik kita. Hadirnya orang itu hanya sementara.

Tidak saya duga, rupa-rupanya pertemuan di Subang Jaya adalah pertemuan terakhir kami. Pukul 9.00 pagi 17 Mei 2014, saya mendapat berita yang amat memeranjatkan – Munir Ghazali, seorang yang sangat saya hormati dan menganggapnya seperti abang kandung – telah kembali ke rahmatullah.

Berita pemergiannya sewaktu tidur akibat serangan jantung ketika bertugas di Kota Bharu, Kelantan, amat memeranjatkan. Dada saya berdebar. Betulkah?

Saya tidak mahu percaya kepada berita itu. Tetapi apabila satu demi satu panggilan telefon dan SMS mengesahkannya, saya hanya mampu mengetap bibir. Fikiran menjadi kosong. Tanpa sedar, air mata saya bergenang, dan perlahan-lahan menitis ke pipi.

Saya bertambah sedih kerana tidak dapat melihat wajah Munir buat kali terakhir kerana jenazahnya terus dibawa ke kampungnya d Parit, Perak untuk dikebumikan di sana, lewat malam itu.

Malam itu saya tidak mampu melelapkan mata. Membayangkan jenazah Mujnir dibaluti kain kapan, dimasukkan ke dalam liang lahad, dikambus, dan ditinggalkan di dalam liang lahad, air mata saya bergenang lagi.

Kenangan-kenangan lama kembali berlegar di ingatan. Pada waktu itu, saya teringatkan kata-kata Munir sewaktu beliau masih di Mastika. Hari itu sekitar penghujung 2004, kami berbual, jika diberi pilihan, bagaimanakah kami mahu hayat kami berakhir? Adakah mati akibat kemalangan? Sakit jantung? Di dalam tidur?

Bersama mantan-mantan karyawan Mastika pada majlis meraikan ulang tahun ke-65 majalah ini pada 1 Jun 2006.

Sambil berbual, kami ketawa kerana Munir terus membuat lawak. Tetapi dalam lawaknya itu Munir memberitahu saya, dia sering bermohon kepada Allah, jika mahu mencabut nyawanya, cabutlah dengan cara yang mudah dan ketika anak-anaknya sudah besar serta memahami erti apa itu kematian. Ternyata, apa yang dimahukan oleh Munir telah dikabulkan Ilahi. 

Saya betul-betul terasa kehilangan Munir. Hati ini terasa kosong. Sunyi. Tetapi makin cuba dibuang kenangan-kenangan itu, semakin kuat ia bermain di ingatan, membuatkan dada berasa sebak dan air mata bergenangan, hatta ketika menulis artikel ini.

Kini hanya doa yang berterusan dapat saya panjatkan, semoga Allahyarham Abang Munir beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan yang kekal abadi di sana. Demi Tuhan, saya akan merindui Abang Munir sampai ke akhir hayat. Al-Fatihah.

Oleh: ZULKARNAIN ZAKARIA