Hamidin bergambar bersama Cools selepas disahkan sebagai pemain ke-26 Harimau Malaya menghadapi baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. GAMBAR: Facebook FAM

SELEPAS pelbagai spekulasi bertebaran dalam media sosial, akhirnya pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia, Dion Cools sah bakal memperkasa skuad Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 4 Jun ini.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menerusi media sosial persatuan itu hari ini.

Ia sekali gus menjawab persoalan tonggak pertahanan yang beraksi bersama FC Midtylland di Liga Denmark itu.

Hamidin turut meluahkan keyakinan bahawa kehadiran Cools mampu menyuntik nilai tambah kepada kekuatan pasukan.

“Alhamdulillah, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools telah bersama pasukan di Dubai, UAE hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya.

“Ini berikutan selepas segala proses dokumentasi di peringkat FIFA dan AFC, terutama berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain telah selesai.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan. Amin,” katanya di laman Facebook rasmi FAM hari ini.

Semalam, Hamidin seolah-olah ‘mengusik’ penyokong setia Harimau Malaya dalam video ringkas yang dimuat naik ke media sosial FAM supaya menantikan ketibaan pemain ke-26 skuad kebangsaan.

Baca artikel berkaitan: Safawi, Sumareh ‘bertumbuk’ di dewan makan menjelang kelayakan Piala Dunia

“Sekarang waktu 8 pagi di Dubai, nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya,” kata beliau ringkas dalam video tersebut.

Spekulasi kehadiran Cools hangat diperkatakan dalam media sosial selepas Midtjylland mengeluarkan kenyataan bekas pemain skuad remaja Belgium itu mendapat panggilan Malaysia dalam tiga aksi kelayakan iaitu menentang UAE, Thailand dan Vietnam.

Cools yang bakal menginjak usia 25 tahun, Jumaat ini dilahirkan di Kuching, Sarawak memulakan karier bola sepaknya bersama OH Leuven dalam divisyen kedua Liga Belgium sebelum disambar salah satu kelab terkemuka di negara itu, Club Brugge pada tahun 2015.

Beliau turut membantu Club Brugge menjulang kejuaraan liga sebanyak dua kali dan Super Cup Belgium sebelum menyertai Midtylland awal tahun lalu.

Sebagai rekod, pemain pertahanan kanan yang juga boleh bermain di bahagian tengah itu turut membuat tiga penampilan dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dengan dua kali menentang Ajax Amsterdam dan satu lagi bertemu Liverpool.

Kehadiran Cools ke dalam skuad kebangsaan sekali gus menjadi pemain berdarah kacukan keenam negara selepas Junior Eldstal, La’Vere Corbin Ong, Matthew Davies, Samuel Somerville dan Brendan Gan.

Dalam saingan peringkat kelayakan kali ini, Malaysia turut mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram