Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengangkat salah seorang warga emas yang kurang sihat untuk dibawa ke hospital ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 23 mei hingga 5 jun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

NAMANYA sendiri sudah memberi makna tepat iaitu variant of concern (VOC) atau dalam bahasa kebangsaan, varian yang membimbangkan.

Istilah ini bukan diberi doktor di Putrajaya, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kenapa membimbangkan? Ini kerana kadar kebolehjangkitannya yang tinggi atau bahasa mudah, lebih cepat merebak.

Berikutan itu, salah satu sebab kenapa 33 juta rakyat kini disuruh duduk rumah jika tiada urusan mustahak di luar adalah kerana penularan varian luar negara ini.

Adik abang sekalian, sebagai contoh VOC dari India yang paling digeruni, awalnya hanya satu dikesan bulan lalu dan kini jumlahnya sudah enam.

Setakat ini kesemuanya jangkitan import berdasarkan perkongsian di media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

VOC paling banyak di Malaysia ketika ini yang mana kesemuanya melibatkan jangkitan dalam negara ialah Varian Afrika Selatan.

Setakat ini sudah 89 kes varian itu atau B.1.351 dikesan.

Paling banyak Selangor dengan 34 kes, diikuti Kelantan (18 kes), Kuala Lumpur (10 kes), Kedah dan Sarawak (masing-masing tujuh kes) dan Kuala Lumpur (lima kes).

Turut melaporkan varian ini ialah Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor.

Infografik KKM.

Jumlah varian Afrika Selatan ini jauh mengatasi satu lagi VOC yang dikhuatiri sebelum ini iaitu varian UK.

Varian UK atau B.1.1.7 dengan lima kes jangkitan import dan empat kes jangkitan dalam negara.

Baca artikel berkaitan: Kes sparodik, varian baru kenapa PKP 3.0 diperlukan – KP Kesihatan

Selain VOC, ada pula Variant of Interest (VOI) iaitu Varian Nigeria dan Varian Filipina.

Sebanyak 12 kes adalah varian Filipina atau P.3 yang kesemuaya kes jangkitan dalam negara).

Varian B.1.525 iaitu varian Nigeria pyla sebanyak tiga kes setakat ini.

Menurut hantaran KKM itu, keseluruhannya sebanyak 119 kes COVID-19 dengan VOC dan VOI telah dikesan.

“Varian Afrika Selatan B.1.351 paling banyak dikesan dengan 89 kes dan semuanya jangkitan tempatan.

“Hampir kesemua negeri melaporkan sekurang-kurangnya 1 VOC dengan kadar kebolehjangkitan sangat tinggi,” kata KKM.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram