zul yahya

PELAKON Zul Yahya mencadangkan agar masjid dijadikan pusat kuarantin bagi pesakit beragama Islam yang disahkan positif Covid-19.

Menurut Zul, 48, initiatif itu dilihat mampu memberi manfaat selain menghidupkan fungsi masjid yang sejak kebelakangan ini terpaksa dihadkan selepas ramai jemaah dijangkiti wabak tersebut.

“Kenapa tak dikuarantinkan umat Islam positif Covid-19 bergelaja ringan di masjid-masjid… bukankah itu lebih baik, mereka dapat hidupkan amalan-amalan masjid selama 24 jam dan masjid pun tidak sepi.

“Kenapa tidak digunakan peluang ini untuk menghidupkan solat fardhu di masjid dan jadikan suasana yang sangat luar biasa seperti solat Jumaat.

“Lebih banyak manfaat… mungkin boleh menambahkan kebaikan pada mereka dan kita semua,” katanya.

Kata Zul lagi, fungsi masjid sangat luas dan perlu digunakan dengan hal-hal yang berfaedah agar semua mendapat ganjaran yang sebaiknya.

Tambahnya, pesakit yang disahkan positif Covid-19 bukanlah disebabkan musibah sebaliknya ia adalah ujian untuk ditempuhi.

Malah, dia juga sekali lagi menawarkan khidmat bersama rakan-rakannya untuk menguruskan penempatan pesakit Covid-19 di masjid meskipun pernah menyuarakan hasrat yang sama pada tahun lalu.

“Kita nak dapatkan bantuan Allah SWT tapi rumah-rumah Allah tidak diimarahkan. Ada cara Allah SWT bagi tapi kenapa tak diusahakan… ujian ini adalah hikmah buat kita bukannya musibah.

“Saya serta sahabat-sahabat sedia bagi khidmat masa dan menguruskan manusia-manusia yang berada di masjid.

“Ada masjid yang luas mampu meletakkan jemaah beratus-ratus orang. Tahun lepas saya dah suarakan perkara ini tapi tiada yang berfikir bagaimana ia boleh dilaksanakan.

“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Para ulama yang dimuliakan lagi dikasihi seluruh alam dan yang mulia para sahabat, mohon panjangkan perkara ini,” luahnya.

TANGKAP layar kenyataan Zul Yahya mengenai pusat kuarantin di masjid