MAHKAMAH Tinggi Shah Alam akan mendengar rayuan bekas suami penyanyi popular tanah air, Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri yang membuat permohonan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan ke atas dirinya kerana didapati bersalah merotan tangan anak lelakinya pada 15 September ini.
Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata, rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Hasbullah Adam.
“Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan selaku responden dan perayu (Armin Zaharin) memfailkan hujahan masing-masing pada atau sebelum tarikh pendengaran,” katanya memetik laporan Bernama.
Sementara itu, peguam yang mewakili Armin Zaharin, Amir Farid Mohd. Nawawi mengesahkan kes rayuan berkenaan.
Armin Zaharin, 56, bekas pramugara syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Tinggi pada 4 Januari lalu terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September tahun lepas.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) dengan menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.
Kejadian berlaku antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.
Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018 berhubung insiden yang berlaku.
Pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Ziana dan Armin Zaharin mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki dan seorang perempuan, berumur dalam lingkungan 11 hingga 20 tahun.