Oleh DATUK DR.HASAN MAD

Bila sesuatu arena kemakmuran itu bergelora, pastinya ada badai melanda. Atau ada pihak yang menjadi badai, mencetus ombak melanda sesuatu arena itu.
 
Yang anehnya, kebanyakan badai pencetus ombak-ombak ini bukan badai dalam kalangan kuasa luar. Ia dari sumber dalaman atau sumber di sekeliling sesuatu watak dalam arena itu.

Badai ini bermain kononnya atas sentimen tanggungjawab, realitinya mereka adalah oportunis. Sentimen yang dimainkan sukar dibaca jika bersandarkan hanya kepada apa yang tersurat. Cukup sukar untuk ditakrifkan tindakan mereka itu atas nama tanggungjawab atau mereka berbuat demikian sebagai oportunis.

Permainan sentimen inilah  yang mencetuskan gejala apa yang saya namakan sindrom thin-line (thin-line syndrome).
 
Mereka yang saya klasifikasikan sebagai pembadai ini adalah dalam kalangan mereka yang bertanggungjawab, pandai bermain dengan sentimen dan membina persepsi, sehinggakan seringkali persepsi yang tercetus diterima oleh pihak massa.

Di antara strategi mereka ialah menzahirkan atau mengklassifikasikan sesuatu yang sepatutnya berstatus truth menjadi half-truth, lantas terbinalah krisis keyakinan.
 
Saya paparkan senario semasa di antara mereka yang mengalami sindrom ‘thin-line’ ini, dalam tiga arena kemakmuran berbeza. Di penghujung nanti saya paparkan impak atau kemungkinannya, daripada sindrom ini.
 
Senario pertama yang ramai di antara kita mengetahuinya ialah dalam arena politik. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam komuniti politik yang dikelilingi mereka yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Realitinya ramai dalam kalangan mereka ini adalah pembadai, nampak seperti bersama Muhyiddin tetapi dalam sekelip mata menjadi seterunya pula. Dalam 16 bulan kerajaan Perikatan Nasional menerajui kepimpinan negara kita dapat lihat bagaimana Muhyiddin mengalami sindrom ini, sindrom thin-line, yang menyebabkan kerajaan pimpinannya terumbang-ambing. Wallahualam, sampai bila beliau mampu bertahan.
 
Akan tetapi, dalam kes Muhyiddin beliau tidak keseorangan bergelut dengan sindrom ini. Yang beliau tidak tahu ialah bila mereka itu ada bersamanya melawan badai dan bila pula mereka ini akan membadainya, kerana itulah realitinya bila dilanda sindrom ini.   
 
Senario kedua di mana permainan sentimen menukar elemen tanggungjawab menjadi oportuniti dan truth menjadi half-truth ialah dalam arena kesihatan iaitu dalam usaha kita semua menangani wabak Covid-19.
 
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, juga seperti Muhyiddin, mengalami sindrom ini. Golongan anti vaksin misalnya, bukan dalam kalangan orang biasa yang tak tahu hujung pangkal mengenai Covid-19 dan keperluan untuk rakyat negara ini melakukan vaksinasi.

Pembadai dalam kalangan blok anti vaksin adalah cerdik pandai atau pakar yang sepatutnya sama-sama bertanggungjawab menangani wabak ini. Tapi mereka memilih menjadi golongan oportunis untuk membadai. Tak tahulah apa manfaatnya mereka berbuat demikian.

Penyudahnya rakyat jadi keliru kerana truth mengenai vaksinasi sudah ditanggapi oleh ramai di antara kita sebagai half-truth, lantas ramai yang menentangnya, atau paling tidak meragui usaha kerajaan untuk memvaksin kesemua rakyatnya.

Tidak kurang juga ramainya pembadai ini yang meragui proses pembelian itu. Itulah realitinya bila mereka yang bertanggungjawab, dalam sekelip mata menjadi pembadai.
 
Dalam pada itu pula, apabila kerajaan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda untuk melaksanakan darurat kesihatan selama lapan bulan bagi mempermudahkan usaha menangani wabak, ada pula mereka dalam kategori yang bertanggungjawab, memilih untuk menjadi frontliners antidarurat.

Dek gangguan puak-puak antidarurat ini usaha diterajui Dr. Noor Hisham menangani wabak ini menjadi makin celaru. Kesannya ialah keluk wabak semakin menegak dan sukar untuk dilandaikan.
 
Pun begitu beliau bernasib baik sebab kerajaan bersamanya. Seperti Muhyiddin, Dr.Noor Hisham tidak bersendirian.
 
Senario ketiga yang ingin saya paparkan mengenai sindrom ini ialah dalam arena ekonomi, khususnys dalam dunia korporat.
 
Saya ambil satu contoh. Datuk Dr. Ir Ts Karim Abdullah dengan flagshipnya, Serba Dinamik Bhd, adalah juga mangsa kerja-kerja pembadai yang bermain dengan sentimen kononnya atas nama tanggungjawab tetapi realitinya mereka bertindak sebagai golongan oportunis.

Seperti juga Muhyiddin dan Dr.Noor Hisham, Karim mengalami sindrom ini kerana pihak-pihak di sekelilingnya yang bermain dengan sentimen ini dan mempengaruhi massa untuk turut sama menghukum Karim.
 


Serba Dinamik adalah entiti syarikat tersenarai. Entiti bisnes dalam kelompok ini amat terdedah kepada spekulasi. Spekulasi amat mudah dibina, lebih-lebih lagi apabila pihak-pihak bertanggungjawab berperanan sebagai frontlines memilih untuk menjadi pembadai oportunis, bermain dengan fakta-fakta yang mereka klasifikasikan sebagai ‘half truth’.
 
Secara kebetulan kebanyakan pihak yang bertanggungjawab ini dari kelompok pemikiran dan strategi yang sama. Hibanya, Karim tidak dipertahankan oleh pihak yang berani bertanggungjawab, yang mampu mengimbangi persepsi yang dibina oleh pembadai ini.
 
Inilah realiti kini yang dihadapi oleh mereka yang mengalami sindrom ‘thin-line’ ini, baik Muhyiddin dalam arena politik, Noor Hisham dalam arena kesihatan mahupun Karim dalam bidang ekonomi.
Ramai lagi nama besar wira negara seperti mereka itu yang kini mengalami sindrom ini.
 
Terkilannya saya ialah para pembadai ini tidak menghiraukan implikasi di peringkat makro, hasil dari tindak-tanduk mereka itu.
 
Dalam kes Muhyiddin, mereka tidak menghiraukan padahnya bila politik terus bergolak tatkala negara berdepan begitu banyak kegawatan. Apa yang pembadai dapat hanyalah keseronokan melihat Muhyiddin terkapai-kapai. Tangungjawab untuk menyelamatkan keadaan dan menstabilkan politik sudah diketepikan.
 
Dalam kes Dr. Noor Hisham, padahnya kita kini menjadi di antara negara di dunia yang paling teruk dalam menangani wabak ini, walhal suatu ketika dahulu, iaitu hanya beberapa bulan yang lepas, kita dianggap di antara negara terbaik di dunia dalam menangani wabak ini. Itulah penangannya bila kita alami sindrom ‘thin-line’ ini. 
 
Dalam kes Karim, apa yang terjadi kepadanya mampu mengucupkan saiz pasaran modal negara yang sememangnya kecil dan semakin kurang menarik minat di mata pengurus dana global. Para pembadai ini tahu implikasi tindak-tanduk mereka yang bukan sekadar menguncupkan saiz pasaran modal negara, malah ia ada kesan langsung terhadap kecairan modal negara. 
 
Apa pun, Muhyiddin dan Dr.Noor Hisham tidak bersendirian berdepan sindrom ini. Ia berbeza bagi Karim yang terpaksa mengharunginya bersendirian, kecuali kerajaan tampil meredakan keadaan.
 
 * Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)