MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mendakwa dirinya difitnah berhubung isu LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu anak syarikat Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang menjual tanah di bawah harga pasaran.
Mohd. Khairuddin turut mendakwa akaun Facebook yang memfitnahnya berhubung isu tersebut juga merupakan laman yang mesra sebahagian pimpinan UMNO.
Namun begitu, kata beliau, tindakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan hubungan baiknya dengan pimpinan parti berkenaan.
Sebaliknya, Mohd. Khairuddin berkata, usaha untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) akan tetap diteruskan demi kepentingan ummah dan hubungan baik dengan pemimpin UMNO terus terjalin.
“Sebahagian pimpinan UMNO pun sedang bersemangat turut menyerang.
“Namun, ia tidak menghalang saya untuk terus memperkasakan MN demi kepentingan ummah. Hubungan baik yang terjalin dengan pimpinan UMNO juga tidak terjejas,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya malam tadi.
Baca artikel berkaitan: Lembaga Getah nafi wujud skandal penyelewengan hartanah
Dalam hantaran berasingan, Mohd. Khairuddin menegaskan akan mengambil tindakan saman kepada pihak dan individu yang menyebarkan fitnah kepada dirinya.
Selaku menteri yang diberi amanah, beliau turut menegaskan bahawa integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban tetap menjadi teras pentadbirannya.
“Saya menegaskan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban berasaskan amalan tadbir urus rabbani yang meletakkan pertimbangan dosa dan pahala adalah menjadi teras pentadbiran dalam Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensi di bawahnya.
“Kenyataan media telah dikeluarkan bagi menjawab isu yang dibangkitkan. Laporan polis juga telah dibuat. Tindakan saman kepada pihak dan individu yang menyebarkan fitnah sedang diuruskan,” katanya.
Isu melibatkan LGMPC tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu yang membangkitkan penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran.
Walau bagaimanapun, Bekas Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris tampil memberi penjelasan bahawa dirinya tidak terlibat dengan isu tersebut malah telah ditamatkan kontrak pada 14 April lalu.
Beliau juga bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahmad Nazlan turut mendakwa wujud campur tangan menteri dalam isu sewaan tanah.
LGM dalam kenyataan pula menjelaskan, isu campur tangan dalam urusan agensi terbabit dan LGMPC tidak bertepatan dengan kuasa menteri yang termaktub dalam akta sedia ada.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram