Vaksinasi walk in di Stadium Ragbi Twickengam kelmarin menarik perhatian ramai mengenai usaha mempercepatkan vaksin. UK sendiri mencatatkan sifar kes kematian semalam./ Gambar media sosial UK

DI United Kingdom (UK) kelmarin, ada satu acara besar berlangsung di Stadium Twickenham – gelanggang rasmi skuad ragbi England.

Bukan kejohanan sukan atau konsert Taylor Swift, tetapi program suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in.

Tujuannya sudah tentu bagi mempercepatkan pemberian imunisasi di negara tersebut khsusnya sekitar barat London.

Dilaporkan program menerima sambutan sangat baik terutama orang muda dengan barisan panjang dilihat.

Cuma bila walk in begini, ada juga yang pulang hampa tak sanggup melihat ramai sangat manusia.

Sambutan luar biasa daripada anak muda pada acara vaksinasi walk in di Stadium Twickenham yang menyebabkan barisan panjang di luar stadium. Ini menyebabkan kritikan pihak tertentu pada acara yang kali pertama diadakan itu.

Ada juga kritikan diterima kerana kaedah ‘ala 80-an itu’ tetapi dari satu sudut, ini menunjukkan sangat ramai mahukan vaksin berbanding awal tahun lalu yang masih banyak ragu-ragu.

Lagi pun ini juga kali pertama kaedah seumpama itu dilaksanakan di England apatah lagi 15,000 tempat sahaja disediakan pada acara itu tetapi sambutan berlipat kali ganda.

Di Wales juga ada mengesyorkan supaya program vaksin mega secara walk in di stadium dipertimbangkan.

Begitulah senarionya. Ada secara temu janji dan ada walk in atau kata orang hibrid. Boleh belaka, janji tercapai apa dikehendaki.

Hal yang sama juga dipraktikkan di Amerika Syarikat (AS) .

Ada di lot parkir kereta, ada di pusat beli-belah. Tiba-tiba lalu nampak ada kain rentang program vaksin, singgahlah cucuk.

UK dan AS dua negara maju. Teknologi yang ada pun canggih-canggih belaka, vaksin pun banyak dibuat di negara mereka.

Program vaksin di AS dilakukan dengan pelbagai cara termasuk walk in dan bergerak.

Namun dalam program vaksinasi COVID-19, tak semua melalui aplikasi canggih. Kaedah old school pun mereka guna pakai.

Yang penting lebih ramai dapat divaksin dan divaksin cepat. Bukan masa nak beradon sangat kata orang Kedah, darurat lah katakan.

Ketika ini di AS, 167.7 juta atau 50.5 peratus penduduk sudah lengkap mendapat dua dos.

Begitu juga UK. Yang dapat dua dos sudah menghampiri 40 peratus populasi negara itu.

Dua negara ini antara yang mencatatkan kes dan kematian tertinggi dengan kemuncak pada awal tahun ini.

Namun kesan program vaksinasi mengubah situasi tersebut.

Amerika Syarikat catat 4,000 kes kematian COVID-19 sehari pada Januari 2021 dan kini turun kepada purata 600 kes sehari untuk tujuh hari lalu.

Baca artikel berkaitan: WOW! Hasil vaksin, pelitup muka tak lagi wajib dipakai di AS

Proses vaksinasi dipercepat, banyak bekalan akan tiba – KJ

Dan semalam, UK mencatatkan hanya 3,165 kes baru.

Lebih menggembirakan buat negara itu, apabila sifar kes kematian berkaitan COVID-19 semalam.

Angka sifar itu adalah kali pertama dalam tempoh 14 bulan.

Menteri Kesihatannya, Matt Hancock dalam ciapan di Twitter mengakui perkembangan memberangsangkan ini hasil vaksin.

Pendaftaran vaksin COVID-19 setakat 1 Jun 2021 yang dikeluarkan JKJAV hari ini.

Di Malaysia pula, makin ramai mendaftar mahu mendapatkan vaksin COVID-19 dengan jumlahnya sudah 12.4 juta orang.

Biar pun begitu, ada 10 juta lagi belum mendaftar. Inilah yang perlu difikirkan bersama.

Pemimpin kerajaan negeri Sabah misalnya sudah bersuara semalam. Dalam tempoh ini, gemblenglah tenaga bersama.

Biar ada pelbagai cara penyelesaian untuk satu masalah. Malaysia bukan city state atau negara urban yang ragamnya tidak pelbagai.

Ini termasuklah sama ada ‘suntik dulu’ mana yang hendak kerana ada yang berpandangan lagi cepat divaksin lebih baik.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram