BERITA baik! Federasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) hari ini mengumumkan Majlis Undian Rasmi Piala AFF Suzuki 2020 yang melibatkan 11 pasukan bertanding akan diadakan pada Selasa, 10 Ogos 2021.

Pengumuman itu disahkan melalui hantaran di akaun Twitter rasmi Piala AFF Suzuki yang memberikan berita baik buat rata-rata peminat bola sepak di rantau asia tenggara.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai undian termasuk lokasi dan format perlawanan akan diumumkan kemudian.

Presiden AFF, Khiev Sameth berkata dalam kenyataan hari ini, pihaknya sangat gembira kerana dapat meneruskan kejohanan berprestij asia tenggara ini biarpun masih dilanda pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pihak penganjur tetap akan menitikberatkan faktor keselamatan untuk meneruskan kejohanan itu.

“Kami sangat gembira mengumumkan tarikh Undian Rasmi untuk Piala Suzuki AFF tahun ini.

“Walaupun niat AFF adalah untuk melancarkan kejohanan dalam format dan jadualnya yang lengkap, termasuk perlawanan di tempat sendiri dan di luar untuk semua peringkat perlawanan, kami juga perlu bersiap sedia menghadapi kesan pandemik COVID-19, termasuk kemungkinan format alternatif seperti pertandingan berpusat.

“Kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan kami akan terus menjadi keutamaan apabila kami mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk kejohanan ini. Pengumuman lebih lanjut mengenai acara itu akan dibuat pada bulan Julai,” katanya.

Mengikut pindaan jadual sebelum ini, kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 sepatutnya diadakan sekitar April hingga Mei 2021.

Baca artikel berkaitan: Club Brugge KV ucap tahniah kepada Dion Cools sertai skuad Harimau Malaya

Namun, AFF menangguhkan pertandingan itu kepada 5 Disember 2021 hingga 1 Januari disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia ditambah pula dengan kesukaran tuan rumah untuk menganjurkan perlawanan.

Kali terakhir kejohanan itu diadakan adalah pada 2018 dimana negara Vietnam telah muncul juara menewaskan pasukan kebangsaan dengan kemenangan agregat 3-2.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.